Andai rezeki, geran sepadan berjumlah RM2 juta pasti dalam genggaman dan boleh digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut.

JCorp dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pertan­dingan itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan mengembangkan bisnes sedia ada dan menggalakkan penyertaan orang awam menjadi usahawan.

“Ini merupakan inisiatif JCorp dalam melaksanakan tanggungjawab korporatnya untuk memperkasakan bidang keusahawanan di negeri Johor.

“Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori A untuk pekerja JCorp dan syarikat kumpulan, manakala Kategori B bagi individu berkelahiran Johor dengan kod MyKad 01, 21, 22, 23 dan 24 serta mempunyai minat menjadi usahawan atau mengembangkan bisnes mereka,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Peserta perlu me­­milih sektor bisnes yang mempu­nyai sinergi dengan perniagaan yang diceburi oleh JCorp antaranya kesihatan, pembangunan hartanah, minyak kelapa sawit, ekopelancongan, tenaga yang boleh diperbaharui, teknologi maklumat dan komunikasi, minyak dan gas serta peruncitan.

Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga bagi setiap kategori masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, RM7,000 dan RM5,000 berserta trofi dan sijil penyertaan, manakala geran sepadan berjumlah sehingga RM500,000 turut ditawarkan kepada juara dan naib juara bagi kedua-dua kategori.

Pertandingan tersebut terbuka kepada rakyat Johor berumur antara 18 hingga 40 tahun sama ada secara individu atau berkumpulan (tidak melebihi dua orang) dan pertandingan akhir dijadualkan pada 14 Disember depan.

Setiap peserta dikenakan bayaran yuran pemprosesan seba­nyak RM200 yang boleh dibuat secara pindahan dalam talian atau wang tunai ke dalam akaun Maybank bernombor 551016708107 atas nama Johor Corporation.

Borang permohonan yang lengkap, perancangan bisnes dan slip bayaran bagi yuran pemprosesan boleh dihantar menerusi e-mel [email protected] sebelum atau pada 7 September ini dan untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Aminah Hashim menerusi talian 07-219 2755 atau melayari www.jcorp.com.my.