Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia merupakan pelabur asing ke-21 terbesar di India pada peringkat global dan kedua terbesar dari negara ASEAN.

Menurut beliau, India kini rakan dagang ke-10 terbesar negara, destinasi eksport ketujuh terbesar dan sumber import ke-11 terbesar selain New Delhi adalah pelabur ke-20 terbesar Malaysia dengan jumlah pelaburan berjumlah AS$2.31 bilion.

“Malaysia adalah pintu laluan masuk India ke negara-negara ASEAN dan apabila RCEP berjaya dimeterai, gabungan kedua-dua negara akan membentuk satu kawasan yang memiliki 50 peratus penduduk dunia dan menguasai hampir 40 peratus dagangan global.

“Kedua-dua negara bukan sahaja sudah bersedia tetapi tekad untuk menjadikannya satu kenyataan,” katanya majlis makan malam Persidangan Pemimpin Perniagaan Economic Times Asia di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden, Kumpulan Times of India, Deepak Lamba.

Najib berkata, kejayaan itu berjaya dicapai hasil lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke negara pada November tahun lepas dan lawatan balas beliau pada April lalu.

“Kerjasama strategik yang ditubuhkan antara kedua-dua negara pada 2010 membentuk hubungan rapat dan lebih dinamik.

“Ahli perniagaan dan syarikat Malaysia kini boleh mengambil peluang pelaburan dan ekonomi di India terutama dalam infrastruktur dan aktif di kebanyakan negeri-negeri di sana termasuk Rajasthan, Telangana, Andhra Pradesh, Maharashtra dan Tamil Naidu,” katanya. - UTUSAN ONLINE