Pada 2018, trafik dalam talian bagi 42 platform e-dagang teratas di Asia Tenggara meningkat secara purata sebanyak 54 peratus. Platform e-dagang dengan angka pertumbuhan tertinggi adalah JD iaitu 246 peratus, Shopee (158 peratus) dan Tokopedia (94 peratus).
Memandangkan ekonomi digital terus berkembang pada kadar yang pesat tahun ini, kita mungkin melihat beberapa perubahan dalam arena e-dagang. Berikut adalah ramalan saya untuk 2019 dan seterusnya.
Pemain baharu
Kita mungkin melihat pemimpin e-dagang baharu di Asia Tenggara menjelang Ogos 2019. Satu daripadanya ialah Tokopedia, syarikat e-dagang Indonesia yang sangat mengagumkan tahun lalu kerana mampu mencabar tempat teratas walaupun hanya tersedia untuk pengguna Indonesia.
Tokopedia melipat gandakan jualannya pada tahun lepas dan baru-baru ini mengumpul RM4.5 bilion daripada Softbank pada Disember 2018 untuk menjadi syarikat e-dagang paling bernilai di Indonesia, iaitu RM28.6 bilion.
Tahun ini, syarikat e-dagang Indonesia itu bercadang memperluaskan skala dan pencapaiannya dengan melabur dalam teknologi dan infrastruktur di Indonesia.
Ini membawa Tokopedia dalam kedudukan yang baik untuk mempercepatkan pembangunannya sebagai platform e-dagang paling banyak dikunjungi di rantau ini.
Walaupun Tokopedia hampir mengatasi Lazada pada pertengahan 2018, Shopee juga berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih tempat teratas.
Keuntungan pada jualan
Singles’ Day telah meningkatkan kedudukan Shopee untuk menjadi pesaing terdekat Lazada pada November 2018.
Shopee dijangka meraih peningkatan keuntungan dalam jualan ulang tahunnya, pada Mac 2019 yang diadakan di tujuh negara. Bolehkah Lazada menangkis pesaingnya? Kami akan mengetahuinya menjelang akhir 2019.
Kebangkitan pemain e-dagang bukan serantau
Hampir semua orang sedang membincangkan mengenai globalisasi dan kepentingan meneroka pelbagai negara. Bagaimanapun, tahun ini kita dapat melihat peningkatan berterusan pemain bukan serantau yang hanya tertumpu pada pasaran tunggal.
Platform e-dagang Indonesia seperti Tokopedia, Bukalapak dan Blibli adalah contoh pemain yang berjaya walaupun mereka hanya beroperasi dalam pasaran tunggal.
Di peringkat serantau, terdapat platform e-dagang Vietnam, Thegioididong dan Tiki dengan purata lawatan keseluruhan pada desktop dan web mudah alih, 29 juta dan 26 juta masing-masing. Ini amat mengkagumkan. Lebih menarik, kedua-dua platform itu hanya terdapat di pasaran Vietnam.
Ramalan ini mungkin berlaku kerana pemain pasaran tunggal masih mempunyai banyak potensi untuk meningkatkan pasaran masing-masing. Sebagai contoh, Statista menunjukkan bahagian pelanggan berbayar aktif daripada jumlah penduduk Indonesia (kadar penembusan e-dagang) pada 2018 adalah 40 peratus. Angka yang sama dapat dilihat di Vietnam, yang mana kadar penembusannya sedikit lebih tinggi pada 53 peratus pada 2018.
Cukai digital
Kadar penembusan e-dagang untuk kedua-dua negara dijangka meningkat kepada 51 peratus di Indonesia dan 57 peratus di Vietnam menjelang 2023.
Antara pemain e-dagang yang mengambil peluang terhadap potensi ini termasuklah Sendo dari Vietnam yang melabur dengan ketara di rantau baharu untuk meningkatkan jangkauannya di dalam negara.
Tokopedia juga memperoleh RM4.5 bilion daripada Alibaba dan Softbank sekali gus menjadi pemacu utama dalam pembangunan ekonomi Indonesia dan kemasukan kewangan di negaranya.
Di negara-negara lain, kita melihat Singapura dan Malaysia memperkenalkan cukai digital bagi membolehkan perniagaan e-dagang tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Ini amat penting kerana pemain e-dagang antarabangsa biasanya dikecualikan pembayaran cukai jika mereka tidak mempunyai pusat operasi fizikal di negara ini. Oleh itu, ia berupaya mewujudkan tahap persaingan yang tidak adil antara pemain antarabangsa dan tempatan.
Inisiatif oleh kedua-dua negara tersebut akan menjadi model peranan dan inspirasi bagi negara-negara lain untuk melaksanakan versi digital cukai tempatan. Ini akan mewujudkan industri yang lebih adil untuk pemain sedia ada dan baharu untuk berkembang maju dalam ekonomi internet.
Jeremy Chew adalah Ketua Pemasaran Kandungan di iPrice Group Malaysia (https://iprice.my)
Kaji kejayaan pelabur di Asia Tenggara