Kajian Workday dan International Data Corporation (IDC) meliputi sebanyak 1,400 majikan dari lapan negara ialah Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Hong Kong, New Zealand dan Australia. Pengarah Urusan Asia Tenggara Workday, Jasie Fon berkata, mereka yang dikaji melihat pendigitalan sebagai ancaman kepada pekerjaan.

Katanya, meskipun majikan di Malaysia mempunyai keseda­ran tinggi terhadap pendigitalan sebanyak 37 peratus merasakan mereka tidak memiliki set kemahiran untuk bersaing.

“Malaysia merupakan antara tiga negara yang memiliki ke­sedaran digital ter­tinggi di Asia Pasifik dengan 73 peratus responden menjangkakan kecanggihan teknologi memberi impak di tempat kerja.

“Gelombang pendigitalan membawa peluang dan ancaman baharu, perniagaan di Malaysia mesti me­labur dalam bidang latihan dan inisiatif meningkatkan kemahiran bagi memastikan pekerja bersedia untuk berhadapan cabaran mendatang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Workday merupakan penyedia utama perusahaan berasaskan awan sementara IDC adalah firma risikan pasaran global.

Kajian itu juga mendapati Malaysia mencatat kadar pusing ganti pekerja tertinggi di rantau ini dengan 38 peratus responden menyatakan mereka mungkin bertukar kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Antara sebab utama bertukar kerja ialah gaji dan ganjaran yang lebih tinggi, prospek kerjaya serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan.