Ketua Penyelidik RAM Ratings, Kristina Fong

Ketua Penyelidikannya, Kristina Fong berkata, inflasi Mac didorong oleh kesan asas rendah daripada tahun sebelumnya manakala inflasi April disebabkan oleh harga purata tinggi petrol RON97 yang mana konsisten dengan aliran meningkat harga minyak mentah Brent.

Katanya, ketidakpastian terhadap pergerakan harga minyak global akan kekal menjadi risiko utama kepada unjurannya tahun ini di tengah-tengah kebimbangan geopolitik yang boleh menjejaskan bekalan.

“Selain itu, mekanisme akhir (pindahan tunai vs kad fleet) bagi subsidi bahan api bersasar yang masih belum diumumkan akan juga memberi kesan kepada unjuran inflasi keseluruhan kami,” katanya di sini hari ini.

Unjuran semasa RAM Ratings pada 1.6 peratus menggabungkan mod pindahan tunai dengan setiap orang membayar harga yang sama di stesen minyak.

Ini akan mendorong inflasi keseluruhan naik sedikit berbanding mekanisme lain yang menyasar menggunakan sistem berasaskan kaedah kepada jenis pengguna berbeza yang disasarkan.

Agensi itu berkata, trend inflasi keseluruhan tahun ini akan disokong oleh perubahan dasar dan yang paling utama adalah perubahan kepada sistem subsidi bahan api bersasar pada separuh kedua tahun ini.

“Unjuran kami menunjukkan bahawa perubahan ini akan menyumbang 0.4 peratusan kepada inflasi keseluruhan tahun ini,” ujarnya. - BERNAMA