Menurut sumber, penyena­rai­an IPO berkenaan yang ditangguhkan tahun lalu berikutan kelemahan pasaran dijangka mampu menjana nilai sehingga AS$900 juta (RM3.7 bilion).

Katanya, penawaran pengendali restoran makanan segera dan pengeluar produk ternakan itu mampu mencecah paras lebih tinggi dalam pasaran pada awal April.

Menurut data Refinitiv, dana dijana daripada IPO di Malaysia merosot kepada AS$170 juta (RM692.92 juta) pada 2018, terendah dalam tempoh 20 tahun berbanding AS$1.8 bilion (RM7.34 bilion) yang direkodkan pada 2017.

Seorang pegawai bank berpendapat, pelabur antarabangsa kebelakangan ini semakin kurang berminat di Malaysia justeru IPO itu dilihat boleh mewujudkan lebih ba­nyak peluang.

Mengulas mengenai penyenaraian IPO itu, Leong Hup memberitahu, syarikat itu sedang mendapatkan kelulusan kawal selia yang diperlukan bagi proses berkenaan.

Bagaimanapun, QSR setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas mengenainya.

Saham-saham Malaysia terkesan pada Mei lalu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan menerusi pilihan raya umum.

Situasi itu seterusnya mewujudkan ketidakpastian mengenai dasar kerajaan yang baharu dan indeks saham jatuh seba­nyak enam peratus pada tahun lalu seiring dengan pasaran serantau.

Menurut sumber bank, Leong Hup kini sedang mela­kukan rundingan untuk memuktamadkan pelabur utama dan menetapkan harga indikatif bagi IPOnya.

Kedua-dua dana tempatan dan dana asing dijangka mengambil saham dalam Leong Hup, menurut sumber bank lain.

Pada tahun lalu, menurut sumber, Leong Hup bercadang untuk meraih AS$600 juta (RM2.4 bilion) IPO, sementara QSR AS$500 juta (RM2 bilion).

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mungkin akan menyenaraikan beberapa entiti miliknya yang sudah matang ke Bursa Malaysia untuk mendorong pertumbuhan perolehan. – REUTERS