Woon Tai Hai
WOON TAI HAI

Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom), Woon Tai Hai berkata, purata gaji profesional ICT pada 2017 naik sebanyak lima peratus berbanding RM8,484 pada 2016.

Katanya, purata gaji bulanan Malaysia adalah ketiga tertinggi di belakang Singapura iaitu AS$3,354 (RM13,575) dan Hong Kong AS$3,049 (RM12,340).

Menurutnya, pengurus kanan menikmati peningkatan gaji yang tinggi iaitu sebanyak 5.6 peratus, diikuti eksekutif junior (5.1 peratus) sementara eksekutif ‘Entry Level’ pada kadar lima peratus.

“Dari segi industri yang mana profesional ICT dibayar gaji yang tinggi ialah perkhidmatan kewangan, ke­selamatan, insurans kemudian diikuti pusat panggilan dan Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO).

“Jumlah pekerja profesional ICT yang diiklankan juga meningkat sebanyak 35 peratus kepada 15,197 pada 2017,” katanya ketika membentangkan Tinjauan Pasaran Pekerja ICT di Malaysia edisi ke-11 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pikom, Ganesh Kumar Bangah.

Laporan tinjauan hasil kerjasama di antara Pikom dan JobStreet.com bertujuan membantu pembuat keputusan di organisasi untuk memahami dan merancang bakat ICT mereka.

Dalam perkembangan lain, Tai Hai berkata, segmen ICT diunjur menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020.

“Pikom menyokong aspirasi kerajaan berhubung perkhidmatan jalur lebar yang lebih murah kerana inisiatif itu akan memacu industri ICT,” katanya.