Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, semua ka­tegori peminjam dengan PUNB berpeluang menikmati tempoh pembayaran balik lebih panjang itu.

“Peminjam sedia ada yang mahu tempoh pinjaman sehingga 10 tahun pun boleh, tetapi mereka kena buat permohonan terlebih dulu.

“Langkah ini diperkenalkan bagi meringankan beban usahawan menghadapi kos perniagaan yang meningkat dan ini juga kelebihan PUNB berbanding bank,” katanya selepas merasmikan pejabat PUNB cawangan Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad; Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Jamelah A. Bakar dan Pe­ngurus PUNB cawangan Negeri Sembilan, Hairul Izham Zuhri.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali menjelaskan, PUNB mengambil langkah memanjangkan tempoh pembayaran balik selepas mempertimbangkan beberapa faktor antaranya permintaaan daripada para peminjam.

“Ramai (peminjam sedia ada) mahu buat penjadualan semula (pinjaman). Lagipun lebih mudah untuk kira bayaran balik kalau mengikut tempoh selama 10 tahun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pejabat PUNB cawangan Negeri Sembilan itu merupakan pejabat ke-13 yang beroperasi di seluruh negara bagi memastikan perkhid­matan lebih baik kepada usahawan.

“Sebelum ini usahawan di ne­­geri ini terpaksa berurusan di pejabat PUNB di Melaka dan ibu pejabat di Kuala Lumpur, bagaimanapun kini mereka tidak perlu pergi jauh kerana semua urusan boleh dibuat di sini,” ujarnya.

Beliau berkata, urusan pinjaman juga boleh dibuat dalam masa lebih pendek berbanding sebelum ini dan cawangan tersebut boleh meluluskan pinjaman sehingga RM500,000.

Ujarnya, pembukaan pejabat dua tingkat itu pada 1 Disember tahun lalu menunjukkan kesungguhan PUNB membantu kerajaan melahirkan usahawan yang berkualiti di negeri ini.

Pada majlis tersebut, Mohd. Ali turut melancarkan buku Kejayaan 50 Usahawan PUNB Negeri Sembilan yang bertujuan mengiktiraf kerja keras mereka selain mendorong usahawan lain supaya le­bih berdaya saing.