Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, skim tersebut bagi membolehkan usahawan bumiputera membeli dan memiliki hartanah seperti rumah kedai, lot kedai dan kedai pejabat.

“Setahu saya, jaminan pem­bia­yaan yang melibatkan hartanah masih belum ada lagi di pasaran pada masa ini dan skim SME PUNB Property ini merupakan yang pertama dibangunkan bersama PUNB oleh pihak Maybank.

"Ini merupakan satu rangka tindakan yang akan membolehkan pihak Maybank mengguna pakai kaedah pembiayaan seumpama ini dengan agensi-agensi keusahawanan lain yang berminat pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pejabat PUNB cawangan Melaka yang kedua di Taman Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Jamelah A. Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman.

Mengulas lanjut skim tersebut, beliau berkata, usahawan bumiputera hanya perlu mengeluarkan sumbangan sebanyak lima peratus daripada nilai belian hartanah sehingga maksimum RM2.5 juta.

"Tempoh pembiayaan hartanah ini sehingga 20 tahun (termasuk dua tahun tempoh bernafas) dan ia terbuka kepada semua usahawan bumiputera.

“Skim ini amat istimewa kerana PUNB menyediakan jaminan kepada Maybank Islamic sehingga 25 peratus daripada jumlah pembiayaan hartanah tersebut atau jaminan maksimum seba­nyak RM250,000 atau mana-mana yang lebih rendah,” katanya.

Pada masa sama, menurutnya, jaminan daripada PUNB bertindak sebagai ‘credit enhancer' (penggalak kredit) kepada pembiayaan usahawan bumiputera yang membolehkan pihak bank selesa meningkatkan margin pembiayaan kepada 95 peratus.

“Untuk tujuan ini, PUNB memperuntukkan sebanyak RM15 juta dengan sasaran 60 unit hartanah pada tahun 2017. Apa yang uniknya tentang skim ini ialah margin pembiayaan sebanyak 95 peratus adalah standard tidak kira sama ada hartanah yang hendak dibeli itu terletak di luar atau dalam bandar,” ujarnya.