Menurut AirAsia, tambang sehala bagi semua laluan dalam Semenanjung serta Sabah dan Sarawak ditetapkan pada RM99, sementara tambang bagi laluan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak masing-masing berharga RM199 dan RM129.

Jelas syarikat penerbangan itu, tambang tersebut adalah termasuk cukai dan caj serta tertakluk kepada terma dan syarat bergantung kepada ke­tersediaan tiket.

“Para tetamu yang akan membuat perjalanan dalam tempoh pengundian dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, selain menggunakan perkhid­matan daftar masuk melalui laman web atau aplikasi mudah alih untuk kemudahan.

“Perkhidmatan tersebut boleh didapati pada 14 hari sebelum waktu pelepasan dan sehingga 1 jam sebelum berlepas,” jelas AirAsia dalam kenya­taan di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh pe­ngundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), manakala tarikh penamaan calon pula pada 28 April ini.

Tambah AirAsia, para tetamu yang mempunyai bagasi daftar masuk dinasihatkan untuk tiba lebih awal bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi sebelum ke pintu masuk.

“Kami ingin mengucapkan selamat jalan kepada semua tetamu untuk PRU-14 yang akan datang,” jelasnya.