Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, PSK berperanan sebagai pusat penyimpanan data, mendapatkan maklum balas serta memberi khidmat nasihat kepada usahawan di seluruh negara terutama di Lembah Klang.

Menurut beliau, PSK menempatkan pelbagai agensi di bawah MED antaranya SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (Insken), UDA Holdings, Maktab Koperasi Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Agensi-agensi ini akan memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada para usahawan. Selain daripada hab utama PKS di Lembah Klang terdapat lima lokasi lain yang menempatkan mini PSK secara fizikal iaitu di Melaka, Alor Setar, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Para usahawan juga boleh mengakses maklumat mengenai insentif dan program pembangunan PKS secara dalam dan luar talian melalui aplikasi SMEhub, Hab PKS Bergerak, laman web rasmi dan media sosial SME Corporation Malaysia (SME Corp.),” katanya semasa merasmikan PSK dan MyPerintis-BizRev di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli; Ketua Setiausaha MED, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi; Timbalan Ketua Eksekutif (I) SME Corp., Rizal Nainy dan Pengasas Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPe­rintis), Datuk Lawrence Low.

Tambah Mohd. Redzuan, SME Corp. dan MyPerintis de­ngan kerjasama pelbagai rakan strategik antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), MySchool of Life, Unifi, Swingvy, Accounterz2u, Focus Malaysia dan FuzzTrack akan menganjurkan MyPerintis-BizRev di seluruh negara sehingga Jun 2019.

Katanya, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai bagaimana konsep dan teknologi moden memberi impak kepada entiti perniagaan masa kini.

“MyPerintis-BizRev menam­pilkan penceramah yang akan berkongsi maklumat perniagaan terkini serta kisah kejayaan bersama peserta. Program ini akan dianjurkan di Johor, Kedah, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sehingga Jun 2019,” ujarnya.

Mengenai Bajet 2019, Mohd. Redzuan berkata, peruntukan yang diberikan kelak akan digunakan sebaiknya untuk mening­katkan lagi pertumbuhan PKS negara di samping memperkasakan para usahawan seiring de­ngan revolusi industri keempat.