Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PRUDENTIAL pelabur di TRX

Keadaan tapak projek di Tun Razak Exchange, Jalan Tun Razak, Kuala 3
Keadaan tapak projek di Tun Razak Exchange, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar/Zakaria Idris

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Prudential muncul pela­bur baharu di pusat kewangan antarabangsa, Tun Razak Exchange (TRX) apabila syarikat global insurans itu akan memindahkan ibu pejabatnya ke bangunan setinggi 27 tingkat yang dijangka dibuka pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib menyifatkan penyertaan satu daripada syarikat insurans terbesar dunia itu secara tidak langsung memenuhi aspirasi TRX sebagai daerah kewangan antarabangsa yang turut menyaksikan penglibatan bank terkemuka dan institusi kewangan.

Katanya, peja­bat Prudential sebelum ini terletak di Jalan Sultan Ismail dan Bukit Bintang dan syarikat itu merancang untuk me­nempatkan ke­semua per­­niagaan pengurusan aset dan insurans hayat di Malaysia termasuk pusat khidmat pelanggan di bawah satu bumbung apabila siapnya projek berkenaan.

“Kami melihat penyertaan Prudential ini mencerminkan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur antarabangsa terhadap TRX, satu pembangunan projek yang amat penting kepada agenda negara.

“Ini akan menjadikan TRX sebagai pusat perniagaan antarabangsa baharu di Kuala Lumpur, apatah lagi disokong dengan pembinaan infrastruktur yang berdaya tahan, ciri-ciri yang lestari dan ruang awam yang boleh dinikmati. Kami yakin mampu menyediakan daerah kewangan bertaraf antarabangsa buat Prudential,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketika ini, menara komersial masih lagi di bawah pembinaan yang dibangunkan oleh TRX. Terletak di lokasi strategik, bangunan Prudential adalah bersebelahan dengan pintu masuk utama pejalan kaki ke TRX dari kawasan Bukit Bintang.

Dibina dengan ciri-ciri moden kontemporari dan dilengkapi de­ngan elemen tradisional, seolah-olah tengkolok, ia secara tidak langsung menggambarkan soko­ngan keperluan masa hadapan perniagaan Prudential yang luas.

Prudential telah bertapak di Asia lebih 90 tahun dengan Malaysia, muncul negara paling lama ia beroperasi di rantau ini.

TRX terletak di kawasan pembangunan seluas 28.3 hektar dan berada di kawasan ekonomi Asia paling dinamik dengan keseluruhan tempoh pembangunan selama 15 tahun.

Kehadiran TRX akan me­ngu­kuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa dengan mewujudkan persekitaran yang berpusat dan lancar bagi firma perkhidmatan kewangan, syarikat multinasional dan perniagaan sokongan.

Setakat ini, 70 peratus daripada kawasan di TRX telah dikomersialkan dan terus menarik minat pelabur dan penyewa daripada kalangan agensi tempatan dan antarabangsa termasuk beberapa bank utama dunia dan institusi kewangan.

Antara pelabur di TRX buat masa ini termasuklah Lendlease yang memba­ngunkan Lifestyle Quarter; HSBC Malaysia dan Affin Bank Berhad bagi menara pejabat; Mulia International Group, iaitu syarikat pemaju Indonesia membangunkan Signature Tower; Lembaga Tabung Haji dan WCT Bhd. bagi kawasan kediaman dan syarikat pengurusan air global, Veolia Water Technologies bagi konsesi kitar semula dan rawatan air.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain