Ketua Pegawai Pemasarannya, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, PruBSN merupakan pene­raju syarikat takaful keluarga di Malaysia sejak 2011 dengan penguasaan kira-kira satu pertiga pasaran.

Menurut beliau, fokus utama PruBSN adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat perlindungan takaful dan kepentingannya kepada diri sendiri serta keluarga.

“Kami kini mempunyai hampir 850,000 pelanggan dan mahu jumlah itu dapat ditingkatkan kepada satu juta pada tahun ini. Dengan beberapa lagi pelancaran produk baharu, kami optimis ia akan membantu mencapai sasaran berkenaan,” katanya dalam majlis pelancaran PruBSN Setia dan PruBSN Impian di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pembangunan produk PruBSN, Ikhtar Ismail dan Penolong Pe­ngurus Pembangunan Produk PruBSN, Sohpan Sopyan Mohd. Amin.

Sementara itu, Wan Saifulrizal berkata, PruBSN Setia dan PruBSN Impian merupakan dua pakej takaful yang menyediakan perlindungan komprehensif dan boleh diubah suai untuk para pe­langgan.

Jelasnya, PruBSN Setia di­sa­sar­kan kepada para pekerja dan mahu menaik taraf pelan sedia ada sementara PruBSN Impian pula untuk ibu bapa yang mahu menyediakan pelan perlindu­ngan lengkap untuk anak mereka walaupun sebelum dilahirkan.

Katanya lagi, PruBSN Setia dan PruBSN Impian berasaskan pelan takaful utama iaitu PruBSN AsasLink yang menyediakan manfaat kematian dan kehilangan upaya kekal secara menyeluruh.