SUV yang nama asalnya, Geely Boyue itu akan dibuka untuk tempahan esok di semua pusat Proton 3S dan 4S dengan depo­sit sebanyak RM1,000 tetapi harga sebenarnya akan diumumkan pada majlis pelancaran rasmi­nya pada akhir tahun.

Proton bakal menganjurkan pelbagai acara di tujuh bandar utama, dari 19 September hingga 4 November, untuk mempromosikan kenderaan itu.

Ketua Reka Bentuk Proton, Azlan Othman berkata, silhouet­te yang diukir garisan penuh bertenaga telah diinspirasikan daripada bentuk berotot dan lincah yang digambarkan daripada keluarga kucing yang besar se­perti Harimau Malaya.

Katanya, antara perubahan ketara adalah pada bahagian jeriji yang dicetuskan daripada bentuk busur yang melambangkan ketangkasan, kecepatan dan ringan.

“Kami memasukkan unsur-unsur unik yang terdapat di Malaysia dan menerapkan dalam reka bentuk kami untuk menghargai keunikan dan kekayaan persekitaran tradisi dan warisan tempatan.

“Begitu juga dengan lencana Proton, pada pertengahan jeriji tersebut selain diapit dengan jeriji tiga bar mendatar. Jika diperhatikan secara teliti rekaan bar itu mempunyai corak pengulangan tersendiri yang diilhamkan oleh ketukangan Malaysia dan warisan semula jadi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat reka bentuk di majlis Pratonton Media SUV Pertama Proton di sini hari ini.

Tambah Azlan, reka bentuk yang mencerminkan seni pertukangan dahulu kala, Proton telah membangun dan mengembangkan seni ukiran kayu tradisional ke dalam susunan reka bentuk yang digelar Infinite Weave.

Pada ruang dalaman pula, unsur-unsur seperti kerusi kulit Nappa, sentuhan aksen alumi­nium dan skrin sentuh mencetuskan elemen kemewahan dan teknologi.

Pemilihan nama SUV telah diadakan melalui pertandingan dalam talian untuk memilih satu daripada empat nama yang disenaraikan iaitu PX70, X7, X70 dan X700. Lebih daripada 89,900 peserta telah menghantar penyertaan yang mana nama X70 telah dipilih.

“Kami kini memperkenalkan SUV Proton sebagai X70 dan ini merupakan kali pertama kami menggunakan sistem abjad ang­ka bagi model Proton yang mana kajian menunjukkan ia akan memudahkan untuk menjual X70 ke ASEAN dan pasaran antarabangsa lain tanpa batasan bahasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

Beliau berkata, huruf X adalah sinonim dengan kendera­an jenis Crossover atau SUV daripada jenama lain manakala nombor 70 menggambarkan saiz atau kelas bagi segmen SUV dan memberi Proton satu sistem logikal untuk menghasilkan model yang lebih besar dan kecil pada masa hadapan.