Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, kilang Proton di Tanjung Malim sedang giat melaksanakan kerja-kerja naik taraf untuk barisan pemasangan model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu yang kini telah mendapat tempahan sebanyak 25,000 buah.

Beliau berkata, peruntukan modal (capex) sebanyak RM1.2 bilion akan digunakan untuk tahun ini dan tahun lepas bagi pemodenan kilang dan pembangunan produk terutamanya untuk model-model baharu seperti X70.

“Insya-Allah, pengeluaran pe­­masangan tempatan bagi X70 mengikut jadual. Oleh kerana X70 ini adalah SUV dari luar, sudah tentu memerlukan masa untuk melakukan banyak ujian dan membabitkan vendor bagi memastikan kualiti yang terbaik.

“Di samping X70, Proton juga telah meningkatkan pengeluaran barisan produk Iriz dan Persona,’’ katanya pada sidang akhbar sempena DRB-Hicom Media Escapade 2019 di sini semalam.

DRB Hicom kini memegang 50.1 peratus kepentingan dalam Proton manakala Geely menguasai 49.9 peratus.

Berhubung pelaburan DRB-Hicom dalam Proton, Syed Faisal berkata, ia berdasarkan kepada peratus pegangan saham antara DRB-Hicom dan Geely dan juga melalui pinjaman bank.

“Semenjak pelancaran X70, tahap keyakinan bank agak tinggi. Mereka kini bersedia memberi pinjaman ekoran sambutan hangat pembeli terhadap SUV tersebut,’’ jelas beliau.

Beliau juga turut memberi­tahu pada 2020, ada dua produk daripada Geely yang bakal dilancarkan di Malaysia.

Setakat ini, Utusan Malaysia difahamkan Proton dan Geely sedang giat melakukan ujian kesesuaian untuk Geely Binyue iaitu sebuah SUV lima tempat duduk yang akan diberi nama Proton X50.