Pemilik gedung pakaian jenama Riffaa, Wan Fatimah Megat Saad, 34, merintis laluan perniagaan seiring dengan perkembangan media sosial dengan melangkah ke dalam bidang yang serba baharu dan mencabar.

Jenama Riffaa sudah tidak perlu diperkenalkan lagi di utara Semenanjung. Butik itu terkenal dengan menjual pakaian berkualiti pada harga yang murah, bermula RM19.90.

Dalam percaturan perniagaan, Wan Fatimah sudah boleh menghela nafas lega apabila perniagaan yang diusahakan bersama suaminya, Mohd. Ridzal Ramli, 38, kini sudah mempunyai 12 francais di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Biarpun begitu, agar tidak ketinggalan dalam arus perdana, dia berpakat dengan suaminya untuk meneroka perniagaan dalam talian yang dikata mampu meningkatkan pendapatan tanpa memerlukan modal yang besar.

“Alternatif meneroka pasaran dalam talian dimulakan pada tahun lalu. Pada peringkat permulaan, kami berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Namun atas dorongan serta nasihat suami dan rakan-rakan, akhirnya ikhtiar ini membuahkan hasil,” katanya kepada S2.

Butik beliau terletak di Aman Central, Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, desakan untuk membawa perniagaan sedia ada meneroka saluran baharu datang daripada pelbagai pihak, namun yang paling utama adalah desakan pelanggan.

“Pelanggan dari seluruh pelusuk negara yang setia menempah membuatkan kami lebih berani menceburi bidang ini,” tambahnya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini, pada peringkat awal, dia hanya menjalankan perniagaan dalam talian dengan cara memuat naik gambar dalam laman Facebook miliknya untuk dipamerkan kepada pelanggan.

“Pada masa itu, sambutan yang diterima agak hambar. Saya sukar bersaing dengan jenama yang lebih besar di media sosial, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk berjaya.

“Berkat kesabaran, jualan mula meningkat apabila saya melakukan peningkatan teknik promosi pemasaran secara langsung di Facebook (FBlive),” jelasnya.

Wan Fatimah memberitahu, ketika mula bersiaran secara langsung, dia berasa kekok dan janggal kerana tidak pernah memperagakan sendiri pakaian tetapi apabila ramai pelanggan memberikan galakan dan maklum balas, dia bertambah yakin menggunakan platfom itu.

Sebelum ini, menurutnya, dia beranggapan bahawa perniagaan dalam talian sukar dilaksanakan kerana kurang pengalaman dan pengetahuan.

“Agak mengejutkan apabila dalam masa sebulan menggunakan platfom itu, jualan pakaian yang ditempah di Thailand meningkat secara mendadak, melebihi jualan tiga bulan sebelum ini,”ujarnya.

Lantaran itu, Wan Fatimah dan suami teruja untuk mengintai lebih banyak peluang perniagaan dalam talian dan dalam masa yang sama, mengekalkan kualiti pakaian serta perkhidmatan kepada pelanggan.

“Jika berniaga secara konvensional, hubungan yang baik dengan pelanggan menjadi antara faktor pemasaran yang menjamin kelangsungan perniagaan. Berniaga secara dalam talian agak mencabar pada peringkat permulaan kerana segala perhubungan dilakukan secara maya,” katanya.

Namun katanya, setelah beberapa bulan berniaga secara dalam talian, akhirnya dia dapat mengenal pasti cara untuk menghargai pelanggan walaupun tidak bersemuka.

“Walaupun berhubung melalui talian, caranya sama. Apa yang kita boleh buat ialah memberi keutamaan kepada keperluan pelanggan, ikhlas berurusan dengan pelanggan dan mengamalkan budi bahasa yang tinggi, selain memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Dengan cara ini, walaupun hanya berhubung di alam maya, pelanggan pasti berpuas hati dan apabila pelanggan gembira, itulah sebenarnya kejayaan saya,”katanya.