Pengarah Eksekutif Promosi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rah­man berkata, 56 peratus atau RM24 bilion daripada pelaburan tersebut adalah daripada sumber luar sementara RM19.1 bilion merupakan domestik.

Jelas beliau, projek-projek tersebut telah mencipta lebih 90,000 peluang pekerjaan ter­utama dalam penghasilan produk petroleum, logam asas, kimia, elektronik dan elektrik serta mineral bukan logam.

“Antara syarikat yang beroperasi di Pahang adalah BASF Petronas Chemical, RP Chemicals, Kinsteel Berhad, CSWind Malaysia, Straits Cement, Polyplastics Asia Pasific dan Kaneka. Kejayaan ini merupakan hasil daripada kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Kerjasama ini semakin kukuh, teguh dan berte­rusan dalam usaha menarik lebih banyak projek berimpak tinggi dan infrastruktur awam datang ke Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Pengembangan Pelabuhan Kuantan dan Taman Industri Minyak, Gas dan Logistik Tanjung Agas antara bukti komitmen Pahang dalam membawa masuk pelbagai pelaburan ke negeri itu.

Menurutnya, projek berkena­an menjadi dorongan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Pahang terutama dalam sektor sasaran.

Katanya lagi, terdapat banyak peluang untuk syarikat membuat pe­laburan baharu, pengembangan dan kepelbagaian dengan menggunakan ekosistem serta kemudahan yang terdapat di sana.

“Projek-projek ini bukan sahaja mengukuhkan ekosistem negeri yang komprehensif malah mem­perbaiki pengeluaran dan kecekapan logistik, mengurangkan kos untuk melaksanakan perniaga­an serta menyokong ali­ran perdagangan dan pelaburan ke negeri terbesar di Semenanjung ini.

“Kami percaya kepelbagaian projek ini membantu merangsang ekonomi Pahang sekali gus men­cipta nilai tambah kepada rakyat tempatan,” kata beliau.