Beliau yang baru lima hari dilantik menerajui kementerian itu berkata, Pan Borneo merupakan satu daripada projek pembangunan yang diberi perhatian oleh beliau, di samping beberapa lagi projek lain seperti sekolah dan hospital yang dikategorikan kritikal atau projek sakit di Sarawak.

Katanya, kesemua projek berkenaan termasuk Pan Borneo perlu diteruskan pembinaannya memandangkan ia merupakan kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat di negeri ini.

“Ketika ini, saya difahamkan projek pembinaan fasa pertama Pan Borneo berjalan lancar oleh syarikat-syarikat kontraktor yang dilantik sebelum ini.

“Persoalan sama ada syarikat kontraktor dilantik sebelum ini akan ditamatkan kontrak, saya sebagai seorang peguam ingin memaklumkan perkara itu tidak berlaku kerana bukan mudah untuk menamatkan perjanjian yang sudah dimeterai kecuali jika ada syarikat melanggar perjanjian barulah kita boleh mengambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai projek Pan Borneo iaitu sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen memberi jaminan bahawa projek mega dirancang oleh kerajaan BN itu akan diteruskan tetapi diaudit semula daripada aspek pelantikan kontraktor dan pemberian tender kontrak.

Dalam pada itu, Baru berkata, kerajaan akan meneruskan projek pembinaan dan menaik taraf sekolah daif di seluruh Sarawak menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS), meskipun timbul isu kelewatan projek sebelum ini.

“Hasil taklimat diberikan oleh kementerian, saya mendapati pembinaan sekolah usang menggunakan kaedah IBS sangat baik dan sudah dibuktikan di Semenanjung.

“Kelewatan projek di Sarawak sebenarnya berpunca akibat masalah mendapatkan bahan binaan kerana tiada kilang besar membuat komponen IBS yang lengkap di negeri ini sehingga ada perlu dibawa dari Semenanjung, di samping masalah untuk menghantar bahan binaan ke sekolah-sekolah yang tiada kemudahan jalan raya,” jelasnya.

Justeru, ujarnya, pelantikan beliau sebagai Menteri Kerja Raya memang bersesuaian kerana boleh memberi fokus terhadap pembinaan kemudahan asas seperti jalan raya, sekolah, hospital, menyediakan bekalan elektrik dan air di negeri ini.