Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) dalam laporan mengenai perkembangan terkini projek berkenaan memaklumkan, de­ngan selesainya kerja pembersihan tapak, kini aktiviti pembinaan memasuki fasa atau pakej seterusnya.

Menurut LBU, fasa seterusnya ialah kerja pembinaan di tapak meliputi proses penggalian dan pelupusan bahan-bahan tidak sesuai atau berlebihan untuk diganti de­ngan yang sesuai seperti tanah dan batu.

“Malah, urusan pengimportan bahan-bahan yang lebih sesuai untuk membina tapak lebuh raya berkenaan turut sudah dibuat.

“Fasa seterusnya ialah menyi­apkan sistem perparitan me­rang­kumi pembinaan tembok dan longkang sepanjang jalan.

“Ketika ini, kerja pemasangan 1,662 unit paip pembetung dan 418 unit kotak pembetung sudah pun dimulakan,” ujar LBU dalam laporan tersebut.

Tambah laporan itu, seterus­nya ialah fasa melibatkan kerja geoteknikal seperti membaik pulih kawasan tanah lembut termasuk membaiki lubang pada longkang, menambak benteng atau menggantikan pasir, menstabilkan lereng melibatkan temboh penahanan, mengukuh ta­nah dan batu.

Bagi kerja pembinaan jamba­tan pula, jelas LBU, ia merangkumi pembinaan jambatan baharu menggantikan jambatan lama yang dirobohkan kerana tidak menepati standard R5.

Ujarnya, fasa pertama pembinaan jambatan akan membabitkan 115 jambatan sokongan yang menyokong laluan empat jalan raya R5.

Pan Borneo Sarawak bernilai RM16.49 bilion adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang di­umumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015 .

Selepas kerajaan Pakatan Ha­rapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Pe­ngerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen memberi jaminan bahawa projek-projek mega dirancang oleh kerajaan BN itu akan diteruskan terapi akan diaudit semula daripada aspek pelantikan kontraktor dan pemberian tender kontrak.