Bagaimanapun, Ketua Pegawai Ek­sekutif­nya Mass Ra­pid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, projek MRT2 laluan Su­ngai Buloh-Serdang-Putrajaya se­panjang 52.2 kilometer diteruskan dengan pengurangan kos.

“MRT2 akan diteruskan de­ngan pengurangan kos. Kini kita masih memikirkan mekanisme untuk mengurangkan kos pembinaan (MRT2),” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan kira-kira setengah jam di Menara Ilham di sini hari ini.

Sharil, bagaimanapun eng­gan mengulas mengenai jumlah pengurangan tersebut.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kos dalam menjimatkan wang rakyat,” katanya.

Projek MRT3 yang me­rupakan laluan kereta api bandar sejauh 40 kilometer telah diluluskan di bawah kerajaan terdahulu, namun kontrak bagi kerja-kerja pembinaan belum diberikan secara rasmi.

Fasa pertama MRT3 dijangka siap menjelang Disember 2025. Kerajaan meluluskan pembinaan projek berkenaan pada 30 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, beberapa penganalisis industri berpendapat bahawa projek MRT3 mungkin akan dilaksanakan pada masa akan datang, memandangkan ia menggabungkan semua rangkai­an pe­ngangkutan rel sedia di bandar.

Dalam pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini beliau berkata, mereka berkongsi dan bertukar-tukar pandangan me­ngenai mekanisme untuk me­ngurangkan kos MRT2.

Projek MRT2 yang bermula dari Sungai Buloh sebelum melalui Serdang dan perhentian ak­hirnya di Putrajaya itu mempu­nyai 36 stesen.

Projek bernilai RM32 bilion yang me­libatkan 11 stesen bawah tanah itu dijangka mampu menampung 530,000 orang penum­pang harian apabila siap kelak dan memudahkan perjalanan meng­hubungkan pusat ban­dar raya Kuala Lumpur de­ngan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

MRT2 dijangka siap sepenuh­nya pada 2022.