Pengerusi George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, pihaknya memasuki perjanjian prakonsortium dengan Siemens Aktiengesellschaft, Jerman dan Siemens Pte Ltd., Singapura pada 6 Oktober lalu.

Katanya, kedua-dua buah syarikat membentuk prakonsortium untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) sebagai persediaan untuk tawaran bersama di peringkat EPC kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPC).

“SPC tersebut akan membida untuk pembangunan, kewang­an, pembinaan dan operasi tek­nikal serta penyelenggaraan untuk projek HSR.

“Perjanjian berkenaan akan melibatkan kami dalam projek HSR dan memberi impak positif terhadap perolehan dan aset bersih syarikat pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kay Hock menambah, HSR merupakan projek berprestij pertama di ASEAN yang melibatkan kereta api laju merentas sempadan dua buah negara.

Menurut beliau, George Kent berbangga untuk bekerjasama dengan Siemens yang mempunyai pengalaman dan kepaka­ran dalam me­ngendalikan sistem kereta api berkelajuan tinggi di peringkat global.

“Kami mahu men­jadi sebahagian daripada syarikat tempatan yang menyumbang kepada perlaksanaan projek HSR ini,” ujarnya.

Projek HSR antara Malaysia dan Singapura dijadualkan siap pada 2026 akan mengurangkan masa perjalanan kepada 90 minit antara kedua-dua bandar raya, dengan kelajuan le­bih 300 kilometer sejam.

Projek itu melibatkan pembinaan landasan kereta api sejauh 350 kilometer dan mempunyai lima transit iaitu Seremban (Negeri Sembilan), Ayer Keroh (Melaka), Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor bermula dari Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong East di Singapura.