Ketua Hutang Negara Asia Aberdeen Asset Management Asia Ltd., Kenneth Akintewe ber­kata, persekitaran pertumbuhan ekonomi yang mantap di rantau ini dalam jangka panjang dijangka meningkatkan keupayaan ke­rajaan dan penggubal dasar untuk menurunkan tahap hutang.

“Usaha kerajaan terhadap pengukuhan fiskal dan pengurusan hutang itu bukan sahaja menumpukan pada tahap hutang mutlak malah juga komposisi hutang seperti hutang jangka pendek dan luar,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Pelaburan 2018 di sini hari ini.

Bertemakan Kepelbagaian: Menentukan Semula Perspektif, persidangan itu membincangkan peluang dalam iklim semasa merentas kelas-kelas aset.

Menurut Akintewe, pasaran bon Malaysia merupakan antara yang paling menarik dalam kalangan ekonomi pesat membangun, didorong oleh asas kukuh, lebihan akaun semasa dan peningkatan harga komoditi.

Katanya, tidak seperti sebahagian besar pasaran pesat membangun yang teruk terjejas oleh peningkatan harga komoditi, Malaysia meraih manfaat daripada kedudukan itu hasil daripada eks­port komoditi negara yang positif.

“Pasaran bon Malaysia juga sa­ngat murah dise­babkan oleh pembetulan terhadap peristiwa sebelum­nya seperti halangan penghantaran tanpa serahan serta kejutan keputusan pilihan raya umum yang lepas.

“Namun, apabila pelabur membandingkan penilaian terkini dengan yang dilihat sejak beberapa tahun lepas, ia nampak sangat murah. Pelabur juga boleh membeli bon antara 10 hingga 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pasaran bon negara juga sangat stabil berbanding dengan pasaran pesat membangun yang lain selain kurang pendedahan terhadap pulangan Perbendaharaan Ame­rika Syarikat (AS).