Timbalan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Seri Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, aspek tersebut merupakan jaminan yang sepatutnya diberikan oleh mereka di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Malah, akan ada banyak lagi penekanan yang akan diberikan mengikut keadaan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar Program Outreach Keusahawanan Khazanah (KNEO) di sini hari ini.

Semalam, dalam kenya­taan media berkata, ketua ekseku­tif daripada enam syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan institusi amanah menyatakan bahawa Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan memaklumkan kepada mereka bahawa dalam tempoh 100 hari, majlis penasihat tersebut akan memanfaatkan GLIC dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang mana sesuai, untuk membantu mereka dari segi maklumat, sumber dan input dalam menangani pelbagai isu yang digariskan oleh kerajaan.

Isu tersebut termasuk antara lain, kajian semula dana dan syarikat tertentu, kajian semula projek, kontrak dan jalan bertol; bidang di mana GLIC dan GLC akan mempunyai kepakaran dan sumber tertentu dan relevan.

Menurut kenyataan itu, bagi dana yang mempunyai penyertaan dari segi politik di dalam lembaga pengarah masing-ma­sing, Tun Daim menegaskan bahawa ini akan dikaji semula dan diubah, seperti yang diperlukan, selain menekankan kepada kepentingan prestasi yang baik dan profesional dana tersebut.

Sementara itu, mengenai program KNEO, Tengku Zamil berkata, tiga pemenang utama daripada 12 peserta yang disenarai pendek akan mene­rima geran tambahan bernilai RM30,000.

Syarikat tersebut iaitu Solviepro Sdn. Bhd. , JomPaw Sdn. Bhd. dan Homegrown Farms Sdn. Bhd. yang dipilih berdasarkan sesi pembentangan idea yang dilakukan.

“Pada Hari Demonstrasi KNEO, 12 syarikat permulaan yang disenarai pendek berpeluang membentangkan idea mereka di hadapan panel juri bagi merebut geran tambahan RM30,000 ini,” katanya.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu, KNEO menerima lebih 700 pe­nyertaan daripada seluruh negara dan 86 kumpulan dipilih untuk menghadiri kem latihan sebagai sebahagian daripada fasa program.

“Ia menyaksikan 30 syarikat permulaan disenarai pendek dan perlu melalui 12 minggu program pemecutan yang diuruskan oleh rakan kerjasama KNE. Kesemua syarikat ini menerima dana mudah alih sebanyak RM20,000,” katanya.