Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana kualiti pembungkusan dan pelabelan produk tersebut dilihat telah mencapai tahap pia­waian yang tinggi.

Malah kata Tajuddin, terdapat beberapa produk milik usahawan terlibat yang dilihat jauh lebih baik daripada yang dihasilkan di luar negara.

“Sudah banyak negara saya pergi dan saya begitu kagum kerana banyak produk kita yang dari segi kualiti pembungkusan dan pelabelannya tidak ada yang kurang daripada mereka (luar negara).

“Saya lihat usahawan tempatan kita sudah capai tahap yang sama dengan mereka dan kita sebenar­nya telah bersedia untuk menembusi pasaran luar negara yang le­bih besar pasarannya itu,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jimat Belanja Dapur Road To MAHA 2018 di Dataran Menara condong di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Hamzah Bahari.

Pada masa sama, tambah Tajuddin, pihaknya akan membantu usahawan terlibat dari segi perancangan dan bimbingan supaya mereka lebih bersedia untuk memasarkan produk masing-masing ke pasaran global kelak.

Terdahulu, Tajuddin melepaskan 11 kumpulan perakit terdiri daripada 44 peserta yang akan menghilir Sungai Perak dari Te­luk Intan ke Bagan Datuk untuk mempromosikan Road To MAHA.

Aktiviti berakit sejauh 25 kilometer itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pe­ngairan dan Saliran serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Acara berakit ini bertujuan memeriahkan dan mempromosi Road To MAHA 2018 kepada masyarakat tempatan,” katanya.