.
 

Pengarah Institut Penyelidikan Perbankan dan Kewangan Asia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Irwan Shah Zainal Abidin (gambar) berkata, ekonomi Malaysia berada dalam posisi terbaik ketika ini dan dilihat telah keluar daripada ketidaktentuan ekonomi global yang berlaku tahun lalu.

Jelas beliau, momentum pe­ningkatan kedudukan ekonomi Malaysia dijangka berterusan disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan ekonomi global yang bertambah baik disebabkan sentimen negatif politik di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah semakin berkurangan.

“Selain itu, kerjasama dua hala yang terjalin dengan negara-negara kuasa besar ekonomi global seperti China, India, Arab Saudi dan Perancis juga merupakan pemangkin kepada pengembangan ekonomi Malaysia.

“Berdasarkan prestasi dagangan suku pertama tersebut juga me­nunjukkan pertumbuhan eko­nomi negara pada masa hadapan akan lebih banyak dipacu oleh perdagang­an luar berbanding perdagangan domestik,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Awal bulan ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan jumlah perdagangan bagi empat bulan pertama 2017 berjumlah RM569.68 bilion, meningkat 23.8 peratus berban­ding RM460.02 bilion yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport naik 21.2 peratus kepada RM298.65 bilion manakala import tumbuh 26.9 peratus kepada RM271.03 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM27.62 bilion.

Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2017 pula meningkat 22.5 peratus kepada RM139.18 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, dengan eksport naik 20.6 peratus kepada RM73.97 bilion.

Eksport juga menge­kalkan pertumbuhan dua digit untuk lima bulan berturut-turut sejak Disember 2016 apabila mening­kat 20.6 peratus kepada RM73.97 bilion berban­ding April 2016 dan import naik 24.7 peratus kepada RM65.21 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM8.75 bilion. Ia adalah lebihan dagangan bulan ke-234 berturut-turut sejak November 1997.

Mengulas lanjut, Irwan Shah berkata, ekonomi Malaysia juga berada di landasan tepat untuk mencecah perdagangan berjumlah RM2 trilion tahun ini berdasarkan prestasi semasa dan dasar ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.