Menurut kumpulan itu, syarikat terus merangsang permintaan untuk mengisi kapasiti tambahan yang disuntik pada 2Q17 dengan mencapai peningkatan ketara dalam faktor muatan penumpang (PLF) sebanyak 80 peratus, me­ningkat lima mata peratusan atas tahun ke tahun, selaras dengan pertumbuhan 26 peratus Tempat Duduk Kilometer Tersedia (ASK) kepada 8.45 bilion.

Katanya, sepanjang tempoh kajian berkenaan juga, AirAsia X Malaysia telah menambah kekerapan bagi dua laluan iaitu Kuala Lumpur-Shanghai dan Osaka.

Selain itu, AirAsia X Malaysia turut menambah Honolulu ke dalam rangkaian laluannya pada suku tersebut iaitu perkhidmatan sulung syarikat penerbangan itu ke Amerika Syarikat (AS).

“Tiada pesawat baharu ditambah ke dalam AirAsia X Malaysia pada 2Q17, dan dengan itu, saiz armada kekal berjumlah 22 buah A330,” jelas AirAsia X dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Mengenai syarikat bersekutu pula, syarikat itu berkata, AirAsia X Thailand merekodkan PLF yang kukuh sebanyak 92 peratus, meningkat tiga masa peratusan daripada 89 peratus tahun lalu, serta membawa 387,959 penum­pang pada 2Q17, 26 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama tahun lepas.

AirAsia X berkata, tiada laluan baharu atau peningkatan kekerapan dalam rangkaian AirAsia X Thailand pada suku itu memandangkan pengurusan memberi tumpuan untuk mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Awam Thailand (CAAT) yang baharu ditubuhkan.

“Bagaimanapun, AirAsia X Thailand telah berjaya mendapatkan AOC daripada CAAT pada 12 Jun lalu.

“Tiada pesawat baharu ditambah dalam AirAsia X Thailand sepanjang tempoh kajian. Jus­teru, saiz armada kekal sebanyak enam buah setakat hujung Jun 2017,” jelas syarikat penerbangan tersebut.

Sementara itu, AirAsia X Indonesia pula telah melancarkan semula perkhidmatan A330nya pada Mei 2017 dengan penerbangan harian dari Denpasar ke Mumbai melalui Kuala Lumpur, dan diikuti dengan Denpasar ke Narita.

Menurut syarikat itu, operasi AirAsia X Indonesia ke Narita bermula dengan empat penerbangan seminggu dan meningkat kepada tujuh penerbangan menjelang hujung bulan Jun 2017.

“Saiz armada AirAsia X Indonesia kekal dua buah A330, menjadikan keseluruhan pesawat Kumpulan AirAsia X sebanyak 30 buah,” tambah syarikat ber­kenaan.

Saham AirAsia X ditutup setengah sen lebih rendah atau 1.27 peratus pada 39 sen dengan 6.98 juta saham bertukar tangan, menjadikan permodalan pasarannya sebanyak RM1.62 bilion.