Tiga pulau itu akan dibangunkan dan dijadikan sebagai pusat tum­puan pelancongan, komersial, hartanah serta pembangunan maritim.

KAJD berperanan sebagai pemaju utama di dalam projek tersebut dan mengetuai perkara berhubung pelaburan dan pembinaan di Me­laka Gateway.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkembangan terbaharu itu terus menggambarkan komitmen dan keyakinan pelabur-pelabur China terhadap Malaysia dengan kini menerokai pelbagai bidang antaranya hartanah, tenaga dan pengangkutan.

“Kehadiran pelabur-pelabur China mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dan China yang telah terjalin selama 40 tahun lalu. Malah negara itu merupakan rakan dagang terbesar Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama antara Powerchina dan KAJD di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Pengerusi KAJD, Datuk Seri Yahya Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong dan Naib Presiden Eksekutif Asia Pasifik Powerchina, Ji Xiaoyong.

Projek Melaka Gateway juga akan membabitkan pembangunan semula pulau keempat di kawasan tersebut untuk dijadikan terminal kontena, pusat pembinaan dan baik pulih kapal serta taman industri maritim yang akan dibangunkan secara bersama oleh KAJD, pelabur dari Guangdong, China serta Chief Minister Incorporated (CMI) Melaka.

Keseluruhan pembangunan Melaka Gateway itu dijangka disiapkan secara berperingkat dalam tempoh lebih 10 tahun akan datang.

Dalam pada itu, Idris berkata, pelaburan RM30 bilion oleh syarikat tempatan dan China itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai pusat pelaburan pilihan di negara ini.

“Pada masa sama dapat menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama, terutamanya apabila perkhidmatan penerbangan antara Guangdong, China dan Melaka akan dimulakan,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan pengambilalihan Arab City Melaka yang terletak di Pulau Melaka bagi dibangunkan semula, sekali gus menghidupkan kembali kawasan tersebut.

Sementara itu, Ong berkata, apabila siap pada 2025, Melaka Gateway dijangka menarik 2.5 juta pelawat setahun, selain mewujudkan sehingga 45,000 peluang pekerjaan baharu.