Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, kerjasama itu bagaimanapun bergantung dengan pengisytiharan kerajaan negeri bagi lokasi berkenaan sebagai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Beberapa bulan lalu ketika membuat kunjungan hormat ke­pada Ketua Menteri, Datuk Pa­tinggi Dr. Abang Johari Tun Openg, beliau ada menyatakan hasrat kepada pihak kami untuk membuka hab itu di negeri ini, seperti yang sedang dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya kepada pembe­rita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Pos Sedunia 2017 Wilayah Sarawak yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Sektor Digital Ekosistem Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuk­rie berkata, sekiranya kerajaan Sarawak telah mengisytiharkan lokasi DFTZ di negeri ini, maka penubuhan hab yang pertama di luar Kuala Lumpur itu akan dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, beliau membe­ritahu, fasa pertama bagi hab DFTZ di KLIA kini sesudah siap dan pihak Lazada Malaysia serta Alibaba te­lah mula mengisi barangan mereka ke dalam gudang berkenaan.

“Keadaan ini kemungkinan membolehkan jualan akhir tahun Alibaba diadakan pada 11 November nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Jailani dalam ucapan memberitahu, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 daripada 170 negara dalam Indeks Bersepadu Bagi Pemba­ngunan Pos dikeluarkan Universal Postal Uni­on (UPU) baru-baru ini.

Justeru, katanya, kementerian bersama SKMM akan terus memastikan tradisi kecemerlangan perkhidmatan pos kekal di negara pada masa akan datang.

Katanya, sasaran kementerian adalah mencapai peningkatan hingga kedudukan ke-20 dalam indeks berkenaan pada 2020.

“Bagi mencapai tujuan itu, pelbagai inisiatif dijalankan dan dirancang untuk memastikan perkhidmatan pos mampu menjadi katalis memacu ekonomi negara,” katanya.