BMI yang merupakan pertubuhan milik agensi penarafan dunia Fitch Group, meramalkan hal tersebut ekoran persepsi risiko swap mungkir kredit (CDS) yang mengukur tahap kredit kewangan negara berada pada prestasi terbaiknya dalam tempoh beberapa tahun.

Dalam laporan hari ini, BMI meramalkan ringgit akan mengukuh kepada RM4.15 berban­ding AS$1 mulai tahun depan setelah meningkat 9.3 peratus berbanding mata wang AS sepanjang tahun sejak Januari lalu.

“Dengan pertalian yang kuat antara prestasi ringgit dan CDS, hal ini akan menyokong perkembangan mata wang Malaysia itu dalam tempoh terdekat. Tambahan pula CDS negara berada pada tahap terendahnya dalam tempoh beberapa tahun,” menurut laporan itu.

BMI mengekalkan gambaran positif terhadap kedudukan kewangan kerajaan, dengan anggapan bahawa risiko kredit Malaysia untuk muflis amat rendah memandangkan situasi politik negara yang semakin stabil di bawah pentabiran Najib yang kini bersedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Malah kerajaan kekal nampak komited untuk mengawal kedudukan kewangannya, dan kami melihat langkah menyemak semula cukai pelancongan baru-baru ini juga menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan berada dalam keadaan fleksibel,” jelas penyelidikan itu.

Pada masa sama, pasukan penyelidik itu menjangka kerajaan berpotensi mengaut pendapatan sebanyak RM210 juta apabila menyemak semula cukai pelancongan itu yang hanya dikenakan kepada pelancong asing.

Rancangan kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap penyedia platform digital milik asing yang beroperasi di Malaysia juga dilihat mampu menambahkan lagi kutipan cukai kerajaan jika hasrat itu diluluskan di pe­ringkat Parlimen dan dilaksanakan dengan jayanya.

BMI melihat ringgit tetap ber­depan risiko tersendiri seandai­nya Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah lebih awal berbanding jangkaan.

Amalan dasar perlindungan industri yang mungkin dilaksanakan oleh beberapa negara termasuk AS, dilihat mampu membantutkan perdagangan dunia yang boleh memberi tempias kepada Malaysia.