Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Salem Kailany berkata, dengan pembinaan perumahan dan pelbagai fasiliti lain di kawasan seluas 2400 ekar, Kota Seriemas bakal menjadi nadi baharu kepada bandar Nilai.

Katanya, kedudukannya yang berhampiran dengan KLIA juga menjadikan Kota Seriemas sebagai pilihan menarik untuk para pembeli memilihnya sebagai kawasan kediaman, serta pelaburan jangka panjang.

“Pembangunan di Kota Seriemas telah bermula lebih 15 tahun lalu dan dalam tempoh 10 tahun lagi ianya akan menjadi perbandaran yang serba lengkap. Saya yakin Kota Seriemas akan muncul sebagai kawasan terpenting di Nilai dan Negeri Sembilan,” katanya.

“Ini terbukti dengan pembangunan berterusan dan teratur, di samping penerimaan anugerah landskap terbaik oleh Kota Seriemas di peringkat kebangsaan pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Raikan Syawal PNBD di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai, di sini hari ini.

Yang turut hadir Idola Pelaburan PNDB, Datuk Rosyam Nor. Mohd. Salem berkata, Kota Seriemas selepas ini akan melangkah ke fasa baharu dengan pembinaan kawasan komersial, kolej pendidikan dan pelbagai lagi fasiliti bagi kemudahan penduduk di sini dan kawasan sekitar.

Sementara itu, Rosyam yang juga penerbit, pengarah dan pelakon terkenal berkata, para pembeli perlu bijak memilih lokasi untuk melabur dalam sektor hartanah, serta mengkaji latar belakang pemaju sebelum membuat keputusan.

Katanya, PNBD yang merupakan anak syarikat Pemodalan Nasional Berhad (PNB) antara contoh pemaju yang tidak pernah gagal menyiapkan projek perumahan sebelum ini, malah PNBD turut membina rumah mampu milik menerusi projek PNBD Value Homes di Port Dickson dan Banting yang mendapat sambutan hangat.

“Dalam waktu bebas cukai sekarang, inilah masa terbaik untuk membeli rumah. Penjimatan 6 peratus hasil dari pemansuhan GST merupakan satu nilai yang sangat tinggi, apatah lagi PNBD turut menawarkan diskaun tambahan,” tambah penerbit filem KL Special Force itu.

Dalam majlis tersebut, PNBD menawarkan diskaun sehingga RM62,000 kepada para pembeli yang berminat memiliki rumah di Kota Seriemas.

Ketika ini PNBD menawarkan Townhouse Cempaka Sari bermula dari serendah RM249,000 sehingga RM 500,000 seunit. - UTUSAN ONLINE