ABDUL RAHMAN
ABDUL RAHMAN

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pelaburan PNB di luar negara hanya kira-kira dua peratus sekali gus memberi impak neutral pada prestasi pelaburan berdasarkan situasi semasa.

“Jumlah pelaburan asing kami tidak banyak dan PNB membuat pelaburan dengan syarikat-syarikat strategik negara yang dapat membantu memberi pulangan bagi dana-dana unit amanah yang kemudiannya diagihkan kepada pelabur dalam bentuk agihan pendapatan.

“Untuk makluman dari Ja­nua­ri hingga Oktober tahun ini, pertambahan bersih unit dalam edaran mencecah RM7.14 bilion, manakala pertambahan bersih pelabur dalam tempoh yang sama menjangkau 300,000 pemegang unit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahman me­nyampaikan hadiah Pertandi­ngan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia 2016 kategori badan beruniform yang menyaksikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dinobatkan sebagai juara diikuti Bahagian Ke­jururawatan, Kementerian Kesihatan di tempat kedua dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat ketiga.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, walaupun kea­daan prestasi eko­nomi global amat mencabar pada tahun ini, PNB yakin dapat memberikan pulangan yang terbaik kepada pelabur menerusi pelaburan ekuiti dalam pasaran domestik.

“Rakyat dan pelabur perlu faham mungkin pulangan pelaburan tidak sebanyak se­perti tahun-tahun sebelum ini, namun kami lebih kompetitif dan meletakkan penanda aras yang le­bih tinggi berban­ding unit-unit aset pelaburan lain.

“Sepanjang tahun ini sahaja, PNB telah mengagihkan dividen dan bonus sebanyak RM3.56 bilion daripada 19 dana unit amanah, manakala jumlah terkumpul pengagihan dividen dan bonus sejak 1981 hingga Oktober 2016 mencecah RM147.17 bilion,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menyifatkan situasi ni­lai mata wang negara yang merudum ketika ini merupakan sentimen se­mentara ekoran kea­daan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presi­den baru-baru ini.

 

* Pelaburan luar negara hanya dua 
peratus.

* Pelaburan 
dengan 
syarikat-syarikat strategik 
negara.

* Pertambahan 
unit 
Januari-Oktober 
2016 
RM7.14 bilion.

* Agih dividen, bonus 2016 RM3.56 bilion daripada 19 
dana unit 
amanah.

* Agihan 
dividen, bonus 1981-Oktober 2016 RM147.17 bilion.