Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu mengusulkan terbitan sukuk hijau bercagar bertempoh 15 tahun menerusi Program Sukuk tanpa penarafan sehingga RM2 bilion yang dikenali sebagai Program Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI.

Ketua Pegawai Eksekutifnya PNBMV, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, terbitan sukuk itu bagi membiayai pembinaan ruang pejabat 83 tingkat yang menjadi sebahagian daripada projek menara Merdeka PNB118.

Katanya, setelah siap dibina, Merdeka PNB118 akan menjadi bangunan pertama di Malaysia yang menepati tiga akreditasi platinum bangunan hijau tempatan dan antarabangsa, iaitu Green Building Index (GBI), Green Real Estate (GreenRE) dan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED).

“Kami gembira PNBMV akan menjadi pengamal awal di Malaysia untuk menerbitkan Program Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI yang sekali gus menunjukkan komitmen PNB untuk memba­ngunkan Warisan Merdeka sebagai projek yang mapan dan mesra alam.

“Ini secara tidak langsung dapat menyokong usaha badan kawal selia dalam menyediakan platform pelaburan kepada para pelabur yang ingin memperuntukkan modal bagi membiayai projek yang bersifat mapan dan mesra alam.

“Pembangunan Warisan Mer­deka telah mengambil langkah-langkah wajar untuk memastikan dasar dan amalan terbaik yang mampan diguna pakai untuk operasi dan pembinaan bangunan, sejajar dengan piawaian global,” katanya dalam kenyataan selepas majlis pelancaran di Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini hari ini.

Program Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI bakal menjadi pengamal awal Piawaian Bon Hijau ASEAN yang dilancarkan oleh SC dan mematuhi garis panduan Sukuk Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab (SRI) di bawah seliaan SC untuk Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Kemuka dan Lancar.

MIDF Amanah Investment Bank Berhad adalah penasihat dan pengatur utama untuk Program Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI.

Menjelang 2020, Merdeka PNB118 akan menjadi bangunan pencakar langit Kuala Lumpur menggantikan Menara Berkembar Petronas dan sekali gus menjadikannya bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan kelima tertinggi di dunia.

Sementara itu, wakil Kumpulan Bank Dunia ke Malaysia, Faris Hadad-Zervos berkata, penerbitan sukuk hijau pertama oleh syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) menandakan kemasukan sukuk hijau ke dalam pasaran utama sukuk.

“Hakikat bahawa ia membiayai pembinaan bangunan hijau menunjukkan sukuk hijau ini bukan sekadar tentang tenaga yang diperbaharui, tetapi mencakupi pelbagai projek mesra alam.

“Kumpulan Bank Dunia akan terus menjadi rakan usaha sama Malaysia dalam membangunkan pendekatan inovatif ke arah kewangan mapan,” katanya.