Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sasaran kenaikan sebanyak RM300 juta itu diletakkan pihaknya berdasarkan keyakinan pelabur terhadap 14 dana unit amanah patuh syariah yang ditawarkan PMB Investment.

Menurutnya, PMB Investment juga yakin jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM2 bilion yang disasarkan tahun ini mampu dicapai berdasarkan faktor tersebut.

"Malah, pembukaan beberapa pejabat jualan negeri pada tahun ini juga mampu memberi nilai tambah terhadap peningkatan sasaran tersebut yang akan membuka peluang kepada pelabur berpotensi selain di kawasan Lembah Klang.

"Tambahan lagi, kami juga menggalakkan 15 agensi atau perunding unit amanah (PUA) yang berada di bawah PMB Investment ketika ini untuk membuka pejabat masing-masing yang pada masa sama memberi peluang kerjaya kepada mereka," katanya selepas merasmikan Pembukaan Pusat Jualan Negeri Kedah di Kompleks Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed; Ketua Pegawai Jualan dan Operasi, Razali Pungut; Pengurus Pembangunan Agensi, Ahmad Shahril Md. Yusof dan Pengurus Pejabat Wilayah Utara, Faizal Tahir.

Mengulas mengenai pembukaan pejabat jualan negeri yang pertama itu, Tengku Ahmad Badli Shah yakin ia akan memberi lembaran baharu kepada PMB Investment untuk lebih fokus menyediakan peluang pelaburan syariah lebih luas kepada orang ramai.

TENGKU AHMAD BADLI SHAH RAJA HUSSIN (kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Lembaga Kebajik

TENGKU AHMAD BADLI SHAH RAJA HUSSIN (kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kedah cawangan Kota Darul Aman, Tempawan Ahmad sambil disaksikan Najmi Mohamed sempena pembukaan Pejabat Jualan Negeri Kedah di Kompleks Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah hari ini. - UTUSAN ONLINE

"Selain itu, PMB Investment juga mahu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada para pelabur khususnya di negeri ini," katanya yang turut memaklumkan dua lagi pejabat jualan di Kelantan dan Melaka akan beroperasi pada tahun ini.

Sementara itu, Najmi berkata, Kedah merupakan negeri yang mempunyai PUA paling ramai bagi wilayah utara iaitu seramai 99 orang daripada 175 jumlah keseluruhan perunding atau penasihat itu di wilayah berkenaan.

"Jumlah itu dianggarkan kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan PUA di seluruh negara dan PMB Investment juga menyediakan pelbagai insentif kepada mereka seperti subsidi untuk membuka pejabat masing-masing selain peluang latihan asas jualan supaya mereka mampu bergelar usahawan kelak," katanya.

Dalam majlis sama, PMB Investment turut meraikan anak-anak yatim daripada Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kedah cawangan Kota Darul Aman dengan menyampaikan cenderahati dan sumbangan wang tunai kepada rumah kebajikan itu. - UTUSAN ONLINE