Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan telah mengukuhkan penglibatan Malaysia dengan rakan dagangan melalui FTA yang kini telah mempunyai tujuh FTA dua hala dan enam FTA lagi melalui ASEAN.

Menurutnya, PKS perlu mengambil peluang dengan memanfaatkan kemudahan dan kelebihan FTA bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Sebanyak 98.5 peratus daripada entiti perniagaan di Malaysia adalah PKS namun eksport PKS masih rendah iaitu hanya 18.6 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

“Usahawan tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan menggunakan faedah yang terdapat dalam setiap FTA dan meneroka sepenuhnya insentif yang disediakan kerajaan dalam menjalankan perdagangan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata de­mikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar menerokai pasaran antarabangsa bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II Matrade, Sharimahton Mat Saleh dan Yang Dipertua Yayasan Amal Maaruf Malaysia (YAMM), Hamsan Omar.

Seminar anjuran bersama Matrade dan YAMM berkenaan disertai oleh 157 PKS termasuk 38 dari Sabah bertujuan untuk memberi maklumat tepat dan menawarkan platform terbaik kepada PKS untuk meneroka pas aran antarabangsa terutama pasaran ASEAN, Asia Barat, Asia Timur dan Afrika.

Sehingga kini, Malaysia telah pun menandatangani FTA dua hala dengan tujuh negara iaitu Jepun, Pakistan, New Zealand, India, Chile, Australia dan Turki, manakala mela­lui ASEAN pula Malaysia terlibat aktif dalam FTA dengan China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, selain FTA, usahawan tempatan juga perlu mengambil kesempatan meneroka pasaran dalam talian yang memberi peluang lebih meluas.

“Peluang pemasaran bagi pasaran dalam talian adalah 13 kali ganda lebih besar daripada perniagaan secara brick and mortar serta lebih mudah untuk ditembusi.

“Namun begitu, usahawan juga perlu memenuhi kualiti, standard dan berupaya memenuhi permintaan pelanggan supaya produk mereka kekal menjadi pilihan di pasaran antarabangsa,” katanya.