Menurut Jabatan Perangkaan, data itu mencerminkan kepentingan sumbangan PKS terhadap ekonomi negara yang terus meningkat stabil kepada 36.6 peratus berbanding 36.3 peratus tahun sebelumnya.

“Pada 2016, nilai tambah PKS secara berterusan pada harga 2010 ialah RM405.5 bilion. Dari segi nominal, KDNK PKS mencatatkan nilai RM463.2 bilion, meningkat 34.2 bilion berbanding 2015,” jelasnya dalam laporan prestasi di sini hari ini.

Daripada RM405.5 bilion itu, 59.6 peratus daripadanya adalah sektor perkhidmatan, pembuatan (21.6 peratus), pertanian (11.2 peratus), pembinaan (5.8 peratus), duti import (1.3 peratus) serta perlombongan dan kuari (0.4 peratus).

Pada tahun kajian tersebut, PKS merekodkan sumbangan nilai yang lebih tinggi kepada KDNK negara dalam semua sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan dan pertanian kecuali pembinaan.

Berdasarkan data itu, sektor pertanian mendahului sumbangan dengan 50.7 peratus, meningkat 1.7 peratus berbanding 2015 didorong oleh subsektor getah, kelapa sawit, ternakan dan pertanian lain.

Jelas Jabatan Perangkaan, sektor perkhidmatan berkembang 40.2 peratus daripada 39.9 peratus tahun 2015 sebahagian besarnya daripada subsektor kewangan, insurans, hartanah dan runcit, penginapan, makanan dan minuman.