SLUG : MIDAJOHOR BAHRU, 17 Ogos 2017 - TIMBALAN Ketua Pegawai
N. Rajendran

Timbalan Ketua Pegawai Ekse­kutif Lembaga Pembangunan Pe­laburan Malaysia (MIDA), Datuk N. Rajendran berkata, pihaknya tidak mahu PKS atau MNC ketinggalan dalam mengambil bahagian dan harus terlibat secara langsung dengan pelbagai rantaian bekalan.

“Projek mega seperti Forest City, projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan Melaka Gateway memberikan banyak peluang kepada PKS untuk terlibat menjadi rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Persidangan Rantaian Bekalan di Wilayah Selatan - Pembangunan dan Peluang-peluang MNC dan PKS di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Rajendran berkata, MIDA akan membantu mereka termasuk melalui geran dana pelaburan strategik domestik (DISF) dalam usaha mengembangkan perniagaan atau perusahaan mereka.

“Kita bantu mereka jika perlukan peralatan, mesin dan teknologi selain mengiktiraf produk me­-
reka,” katanya sambil memberi­tahu sebanyak RM2 bilion diperuntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11 manakala RM1.3 bilion sudah diluluskan untuk 261 syarikat.

Dalam pada pada itu katanya, Kementerian Kewangan akan memperkenalkan insentif khas untuk Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat dalam pembentangan bajet akan datang.

Pada masa sama katanya, pihak MIDA sedang mengenal pasti insentif bersesuaian bagi membantu syarikat berkenaan dalam transformasi teknologi supaya tidak ketinggalan.

Mengenai persidangan tersebut, beliau berkata PKS digesa untuk meningkatkan tahap kecekapan mereka, memperkukuhkan hubungan antara firma dan bertindak balas dengan tepat pada masanya mengikut arus perubahan pasaran untuk terus berdaya saing.

Syarikat tempatan katanya, terutama dalam industri berintensif buruh seperti industri perabot, boleh mendapat banyak manfaat dengan mengguna pakai teknologi Industri 4.0.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, Johor merupakan antara negeri paling tinggi mendapat pelaburan dalam bidang perkilangan iaitu RM145 bilion sehingga 2016 melibatkan 464 projek dan 500,000 peluang pekerjaan.

“Johor terus mengekalkan kedudukannya pada 2016 apabila muncul penerima terbesar projek perkilangan yang diluluskan pada tahun lalu dengan 165 projek bernilai RM26.4 bilion. Projek-projek ini bakal menghasilkan lebih 8,500 peluang pekerjaan,” katanya.