Pengarah Urusannya, Maimun Mohd Hussin berkata, syarikat itu yang beroperasi di Jalan Dusun Muda di sini telah berjaya menjual lebih 54,000 kereta Perodua dalam tempoh 25 tahun ini.

Maimun, 68, yang juga Presiden Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) cawangan Kelantan berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 260,000 kenderaan telah mendapatkan servis di pusat tersebut.

“Kita telah lalui banyak fasa jatuh dan bangun tetapi segalanya dapat diharungi termasuk semasa zaman kemelesetan ekonomi.

“Rahsianya adalah kerana kita mempunyai kakitangan yang berdedikasi dan setia bersama yang mana sebagai majikan kita hargai komitmen mereka melalui pelbagai insentif termasuk tajaan umrah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif PK Otomobil, Sofiah Mohd Affandi.

Sementara itu, Sofiah berkata, pihaknya sangat berterima kasih dengan kerjasama pihak bank dan insuran serta pelanggan tetap yang turut menjadi faktor penyumbang kejayaan syarikat itu.

Katanya, PK Otomobil pernah menerima anugerah jualan kereta Perodua terbanyak pada tahun 1998 bagi seluruh negara di samping beberapa kali menerima pengiktirafan dalam aspek perkhidmatan pelanggan. - UTUSAN ONLINE