Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangunan projek PIPC hingga kini telah menjana pelaburan bernilai berbilion ringgit dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, terbaharu pe­laburan kira-kira RM30 bilion bakal dijana menerusi kerjasama Saudi Aramco dengan Petronas sebagai rakan pelaburan dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) di Pengerang.

“Hab minyak dan gas (PIPC) ini tidak boleh gagal. Ia mesti dijayakan sebaiknya.

“Kita yakin kejayaannya akan meletakkan nama Pengerang di peta dunia dan mampu melon­jakkan Johor untuk menjadi pe­neraju ekonomi di negara ini,” katanya semasa berucap di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai sempena lawatan seharinya ke Parlimen Pengerang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan Pusat dan negeri te­lah memperuntukkan sebanyak RM2.357 bilion bagi menjayakan 33 projek pembangunan di Pengerang sejak tahun 2012.

“Peruntukan ini merupakan jumlah yang besar dan tiada kawasan Parlimen di negara ini menerima peruntukan yang sebegitu besar seperti Pengerang.

“Peruntukan ini termasuk bagi membangunkan infrastruktur dan kemudahan seperti jalan, balai raya, sekolah dan pejabat bomba dan penyelamat,” kata­nya.