Projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) seluas 6,242 ekar serta projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) dijangka menukar landskap selatan Johor daripada suatu kawasan perkampungan berasaskan aktiviti perikanan dan pertanian kepada sebuah tapak industri berteknologi tinggi yang akan menjadi tunjang operasi hiliran Petronas selain membawa pelbagai manfaat kepada negara.

Tahun lalu pula, diumumkan projek ini bakal menerima suntikan pelaburan yang besar dengan termeterainya perjanjian saham bernilai RM31 bilion di antara Petronas dan Saudi Aramco, iaitu syarikat minyak negara Arab Saudi.

Perkembangan ini merancakkan lagi pembangunan PIC dan mengukuhkan lagi potensi RAPID, yang dirancang mula beroperasi menjelang 2019, untuk menarik pelabur lain dari serata dunia.

Kepada masyarakat tempatan, terutamanya para usahawan di sekitar Pengerang, pembangunan projek mega ini telah membuka peluang yang luas untuk meneroka atau mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Kemasukan tenaga kerja yang kini menjangkau kira-kira 63,254 orang bagi menyiapkan projek berkenaan telah menjadi sumber permintaan yang besar bagi pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan.

Bagi Saukat Aminah Isam, 50, ibu tunggal yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, projek RAPID ini telah membuka pintu rezeki yang amat besar kepada beliau dan enam orang anaknya.

Beliau yang lebih dikenali penduduk sekitar dengan panggilan ‘Mami’, mula menceburi dunia perniagaan pada 1997, ketika negar mulai dilanda kemelesetan ekonomi.

“Mami ceburi dunia perniagaan ini demi menyara anak-anak selepas bergelar ibu tunggal,” kata beliau, mengimbas kembali rentetan hidupnya sebagai usahawan kecil.

Beliau memulakan perniagaan dengan ‘meminjamkan’ kelengkapan katering dan peralatan makan buffet secara percuma bagi majlis-majlis perkahwinan di sekitar kampung, sekaligus menggunakan majlis-majlis tersebut sebagai peluang memperkenalkan perniagaan kepada tetamu-tetamu majlis.

Setelah beberapa tahun, perniagaan beliau terus berkembang hingga syarikatnya mampu membekalkan peralatan katering, makanan, khemah dan sistem audio bagi majlis-majlis di serata negeri Johor.

Malangnya pada 2013, Mami mengalami gangguan kesihatan menyebabkan beliau tidak mampu meneruskan perniagaan. Semua harta benda yang beliau miliki telah habis dibelanjakan untuk rawatan dan ubat-ubatan.

Namun, dua tahun kemudian, Mami pulih dari penyakitnya dan beliau telah beriltizam untuk bangkit serta memulakan kembali perniagaannya.

Dengan nekad, beliau menggunakan pendekatan sama sewaktu beliau memulakan perniagaannya dahulu, iaitu dengan mempromosikan perniagaan beliau kepada pekerja-pekerja projek di kedai-kedai makan berdekatan Pengerang.

Selepas setahun, beliau akhirnya menerima tempahan daripada Petronas untuk menyediakan makanan bagi sebuah jamuan tengah hari.

Setelah kembali memulakan perniagaan daripada bawah, kini syarikat Airsky Trading and Resources milik Mami dan rakan kongsinya telah berkembang dengan jumlah kakitangan tetap seramai 11 orang.

“Malah, syarikat Mami baru saja menerima kontrak bagi membekalkan makanan bagi 130 pegawai keselamatan yang bertugas dalam projek PIC selama satu tahun daripada Kopetro (Koperasi Kakitangan Petronas),” tambahnya lagi.

Sebagai seorang usahawan tempatan, Mami merasa amat bersyukur dengan peluang yang beliau dapat melalui penglibatan syarikatnya dalam projek PIC. Mami juga menawarkan sedikit nasihat kepada para usahawan tempatan yang ingin turut Berjaya. “Bagi meraih peluang yang ada, Mami ingin berpesan kepada penduduk Pengerang untuk berani dan tekun dalam menjalankan usaha.”

Semangat waja yang sama ini juga dapat dilihat pada Abdul Rahim Abdul Rahman, 45, pengasas syarikat Groove Wizard Entertainment and Event.

Bagi para pendengar radio, agensi-agensi kerajaan negeri dan swasta di Johor, nama Abdul Rahim, atau Rahim, memang tersohor sebagai bekas deejay stesen BEST 104 dan pengacara majlis serba boleh.

Kelebihan beliau mengacara pelbagai majlis, terutama sekali majlis berprestij menjadikan nama beliau terkenal dalam industri pengurusan majlis di seluruh negara.

Malah, reputasi dan kebolehan beliau menjadikan anak jati Johor Bahru ini pengacara majlis pecah tanah projek yang dihadiri oleh DYMM Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2012.

Pada Mac 2016, beliau sekali lagi dipanggil me­ngacara majlis perasmian jeti Tanjung Setapa di PIC. Rahim yang ketika itu sudah 20 tahun menceburi bidang pengurusan majlis berkata, dari sinilah bermulanya hubungan yang lebih erat di antara beliau dengan projek RAPID.

“Saya dapat berkenalan de­ngan beberapa staf PIC dan saya mengambil peluang berkongsi pengalaman mengurus pelbagai jenis majlis termasuk majlis anjuran pihak swasta mahupun agensi kerajaan,” katanya.

Perkenalan tersebut telah membuka jalan rezeki bagi dirinya apabila pihak projek memilih syarikat beliau untuk mengendali majlis pecah tanah tapak loji penapisan pula, pada bulan Disember lalu.

“Saya amat teruja dengan peluang mengendalikan majlis buat kali pertama untuk pihak PIC.

“Rata-rata, syarikat kecil akan gerun apabila berdepan dengan syarikat-syarikat besar dan projek sebegini kerana syarat yang ditetapkan amat ketat. Tetapi, bagi mereka yang ingin maju lebih jauh, perkara-perkara begini harus dilihat sebagai suatu peluang pembelajaran untuk menaiktaraf perkhidmatan dan kredibiliti syarikat agar lebih mudah mendapat peluang yang mungkin lebih baik,” ujarnya.

Seperti Mami, Abdul Rahim juga mengajak para usahawan kecil dan sederhana sepertinya, terutama dari Johor, untuk berusaha mengambil peluang yang tercipta dengan adanya PIC.

“Sebenarnya ada banyak peluang bagi syarikat kecil dan sederhana untuk turut meraih manfaat daripada projek RAPID yang akan terus berkembang ini,” kata beliau. 


“Yang penting, pengusaha perlu berani mengorak langkah dan komited untuk memenuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan sebelum terlepas peluang,” katanya.

Tambahnya lagi, “Apabila peluang sudah di dalam genggaman, berusahalah 110 peratus untuk memberi perkhidmatan terbaik, lebih dari yang diharapkan demi menjaga kredibiliti dan nama baik diri serta syarikat.”

Bagi ‘orang lama’ Sungai Rengit, Pe­nge­­rang, Hai Kiong Niang, 93, pembangunan PIC dan RAPID memberi nafas baru kepada perniagaan roti yang di asas beliau 35 tahun lalu, Hawaii Bakery and Food Industries.

Ketika ditemuramah bersama cucunya Hai Jia Wei, 28, usahawan yang lebih mesra dipanggil ‘Uncle Hai’ ini berkata, apabila kerajaan mengumumkan rancangan untuk membangunkan mukim Pengerang menerusi projek mega ini, beliau sudah menjangka sejauh mana peluang perniagaan yang akan timbul untuk masyarakat di sini, terutamanya bagi mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

“Perniagaan keluarga kami semakin maju sejak bermulanya pembangunan PIC dan projek RAPID,” kata beliau.

“Namun begitu, dengan adanya permintaan yang tinggi daripada para pekerja projek ini, semakin ramailah pula pesaing yang turut berniaga.”

Setelah bertahun aktif, Uncle Hai sekarang hanya bekerja separuh masa di syarikatnya, dan tugas mengembangkan perniagaan beliau diambil alih oleh anak cucunya. Beliau kini banyak menghabiskan masanya dengan kerja-kerja amal menerusi pelbagai persatuan masyarakat.

Jia Wei, yang bertugas sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan syarikat tersebut pula berkata, para usahawan perlu cerdik dan terus berinovasi untuk berjaya, terutamanya apabila berada di dalam pasaran yang mempu­nyai ramai pesaing.

Syarikat milik keluarga Hai ini kini membekalkan roti dan pastri kepada beberapa kem pekerja di dalam PIC.

“Kami sedang berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang untuk membekalkan makanan kepada kem-kem yang lain,” kata Uncle Hai.

Jia Wei menambah, “Kami juga amat bersyukur sebab Petronas mempunyai dasar yang mengutamakan pembekal tempatan. Senario yang paling menyukarkan adalah apabila sesuatu projek itu lebih menguntungkan pembekal luar dibandingkan perniagaan tempatan, dan ini selalunya menyebabkan ramai anak-anak tempatan terpaksa berpindah. Tetapi di Pengerang, usahawan tempatan dapat bersama menikmati faedah daripada projek ini.”