Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshilla Emran berkata, fasa pertama pelaksanaan sistem berkenaan telah dijalankan di loji pembuatan Pharmaniaga Manufacturing Bhd., Bangi pada Januari lalu dan telah mula beroperasi pada September 2017.

Katanya, sistem tersebut dijangka mula diguna pakai di kesemua loji pembuatan Pharmaniaga menjelang suku kedua 2018.

“Objektif pelaksanaan ini adalah untuk melaksanakan penyelesaian ‘Perancangan Sumber Daya Perusahaan’ (ERP) bagi menyela­raskan sistem di lima loji pembuatan kami.

“Ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja menggunakan amalan terbaik dalam industri,” katanya pada majlis pelancaran ‘Go Live’ SAP S/4HANA di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan ABeam Malaysia, Akio Suzuki; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan Pharmaniaga, Mohd. Suffian Haron dan Pe­ngarah Urusan SAP Malaysia, Terrence Yong.

Syarikat farmaseutikal itu memeterai kerjasama dengan ABeam Consulting bagi penggunaan sistem pengurusan sumber masa nyata,SAP S/4 HANA untuk perniagaan digital.

Farshilla berkata, pelaksanaan sistem tersebut di kilang pembu­atannya juga merupakan sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi digital syarikat.

“Menyedari kepentingan dan keperluan teknologi digital dalam organisasi, kami komited meng­aplikasikan revolusi Industri 4.0 dan menumpukan perhatian pada potensi pertumbuhan yang semakin meningkat,” katanya.