Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun kerajaan negeri mahu menarik balik saman namun ia terpulang kepada Petronas yang mungkin tidak bersetuju dan mahu kes dibicarakan.

“(Esok) kita tarik balik saman tetapi bergantung kepada Petronas, kalau dia tidak setuju maka kena bicaralah, kita harap Petronas bertindak secara bijaksana,” katanya selepas Majlis Solat Hajat dan Amanat Khas Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Esok bakal berlangsung prosiding penarikan saman royalti minyak kerajaan Pas Kelantan ke atas Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan Kerajaan Persekutuan sebagai pencelah.

Untuk rekod, Kerajaan Pas Kelantan pada Oktober tahun lalu memulakan tindakan menarik balik saman berikutan janji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memansuhkan pinjaman wang ihsan sebaliknya bayaran tunai petroleum akan disalurkan terus kepada Kelantan dan Terengganu, tanpa mengambil kira status negeri dikuasai pembangkang.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, biarpun umur Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sudah menghampiri setahun namun layanannya terhadap Kelantan tidak menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan dan penyaluran bantuan per kapita adalah perkara biasa dan sememangnya termaktub dalam Perlembagaan sebaliknya kesediaan membayar royalti minyak yang akan menunjukkan perbezaan sebenar.

“Dalam banyak hal lebih kurang sahaja, indikator kita adalah royalti, bila kerajaan tak bayar maka serupa sahaja dengan yang dulu.

“Kalau dia nak jadi kerajaan yang lebih baik maka dia kena bayar royalti,” katanya. - UTUSAN ONLINE