Menurut Hibiscus Petroleum, Petronas telah memberi kelulusan kepada Shell berhubung peruntukan faedah PSC kepada SEA Hibiscus.

Katanya, kelulusan Petronas adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang kini sedang disemak oleh penjual yang berkaitan dengan SEA Hibiscus.

“Petronas Carigali mengetepikan hak pembelian mereka di bawah perjanjian operasi bersama (JOA),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Hibiscus telah mengumumkan pada Oktober lalu bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan Shell untuk membeli kepentingan tersebut pada harga AS$25 juta (RM104.63 juta) bergantung kepada kebenaran daripada Petronas.

Kontrak pengeluaran bersama (PSC) itu merangkumi Terminal Minyak Mentah Labuan, medan minyak St. Joseph, South Furious, SF30 dan Barton, kesemuanya terletak di luar pesisir Sabah.

PSC tersebut merangkumi Sabah Shell Petroleum Co. yang mempunyai kepentingan sebanyak 25 peratus adalah pe­ng­endali dengan rakan kongsi Shell Sabah Selatan (25 peratus) dan anak syarikat Petronas, Pe­tronas Carigali Sdn. Bhd. (50 peratus).

Dengan melengkapkan pembelian kepentingan itu, SEA Hibiscus akan memiliki 50 peratus kepentingan dan hak pengendalian PSC dan asetnya de­­­ngan PSC mempunyai hak pengelua­ran sehingga tahun 2040.

Medan mi­nyak yang dilaporkan oleh penilai teknikal bebas boleh menghasilkan lebih 16,000 tong minyak sehari de­ngan anggaran baki rizab dibangunkan sebanyak 62 juta tong pada April 2016.

Menurut Hibiscus, tertakluk kepada penjelasan dan syarikat-syarikat ber­kenaan, lembaga pe­ngarah Hibiscus menjangkakan cadangan pe­ngambilalihan lengkap pada separuh ke­dua 2017.