Menurut Ketua Dagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali, ketika ini terdapat kira-kira 600 stesen minyak Petron di seluruh negara termasuk Sarawak dan stesen baharu itu sedang menunggu kelulusan pihak berwajib untuk memulakan operasi.

“Sekarang ini dalam 10 lagi yang dah siap, tunggu lesen dan sebagainya, dan ada beberapa lagi dalam pembinaan.

“Kami cukup agresif, Kami ­ingin membawa produk lebih dekat kepada pelanggan melalui pembukaan lebih banyak stesen minyak dan menawarkan servis yang lebih selesa dengan menaik taraf per­khidmatan sedia ada.

“Ketika ini kemudahan seperti bilik air dan surau di stesen minyak Petron telah dinaik taraf dan kami akan teruskan usaha-usaha ini,” katanya ketika ditemui selepas program Cabaran Hypermarket Sweep Petron di pasar raya Giant Stadium Shah Alam dekat sini hari ini.

Program itu yang dihoskan oleh artis Alif Satar, turut dihadiri Pengarah Hal Ehwal Korporat GCH Retail (M) Sdn.Bhd., Roseta Mohd. Jaafar.

Mengenai program yang dijalankan, Faridah berkata, ia kali ketiga dianjurkan sebagai penghargaan kepada pelanggan Petron di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak RM240,000 diperuntukkan sebagai ganjaran kepada 16 pelanggan bertuah dengan lapan daripada mereka memenangi barangan runcit bernilai RM5,000 dan lapan lagi saguhati bernilai RM3,000.