Menurut jurucakap syarikat peruncit kosmetik dan barangan kecantikan, Sephora Malaysia yang hanya ingin dikenali sebagai Kane, pihaknya masih belum menerima sebarang notis bagi senarai harga produk pasca SST.

Jelasnya, Sephora Malaysia masih berhubung dengan bahagian kewangan syarikat untuk maklumat lanjut.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang notis mengenai perubahan harga.

“Sudah tentu kami akan umumkannya kepada pengguna sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut mengenai harga produk di Sephora,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sephora merupakan peruncit kecantikan antarabangsa yang di­­asaskan di Perancis oleh Dominique Mandonnaud pada tahun 1970 dan menjual pelbagai kategori dan jenama produk termasuk penjagaan kulit, kosmetik, wangian serta produk penjagaan badan dan rambut.

Sephora memiliki 19 cawangan di Malaysia antaranya di Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Baharu dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa butik kosmetik dan penjagaan kulit di pusat beli-belah sekitar ibu negara mendapati rata-ratanya enggan mengulas mengenai harga barangan selepas 1 September ini.

Beberapa pekerja yang ditemui di butik YSL Beauty memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang makluman mengenai perubahan harga susulan SST.

“Kami tidak dimaklumkan namun percaya akan ada pelarasan harga seperti yang dilakukan semasa tempoh peralihan daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) enam peratus kepada sifar peratus seperti sebelum ini,” katanya.

Untuk rekod, harga bagi sebotol bedak asas cecair jenama YSL sebelum ini dijual pada harga RM270 ketika tempoh GST enam peratus dan kemudian harganya diselaraskan kepada RM254.72 sebotol selepas GST berkadar sifar.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy pada 27 Ogos lalu dilaporkan berkata, kadar SST dan senarai barangan yang dikecualikan cukai dijangka dikeluarkan dalam masa dua hari.

Menurutnya, senarai itu sedang dimuktamadkan dan tidak akan mempunyai perubahan besar pada senarai tersebut, katanya merujuk kepada panduan industri yang dimuat naik dalam laman sesawang kastam di https://mysst.customs.gov.my.

Berdasarkan senarai itu, produk kosmetik dan penjagaan kulit akan dikenakan cukai sebanyak 10 peratus.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan amaran kepada pembekal barangan pengguna supaya tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 September.

Menteri KPDNHEP, Datuk Sai­fuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menyedari terdapat segelintir pembekal barangan telah mengeluarkan surat pekeliling kepada peruncit tentang kenaikan harga barang selepas pelaksanaan SST.