Ketua Penarafan Asing RAM Ratings, Esther Lai berkata, ketika ini negara dalam portfolio berdaulat Asia mempunyai unjuran stabil kecuali India yang mempunyai unjuran positif.

“Namun, risiko penurunan kekal berdasarkan kebergantu­ngan Asia ke atas perdagangan dan pelaburan dari China yang mempunyai risiko kredit yang signifikan bagi rantau ini,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Fokus Asia Sovereign RAM 2017 di sini baru-baru ini.

Fokus Sovereign Asia RAM 2017 merupakan rujukan untuk unjuran kredit ke atas anggota negara ASEAN, China, India, Jepun dan Korea Selatan.

Lai berkata, perbelanjaan infrastruktur, intipati pelan pembaharuan bagi Indonesia, Filipina dan Thailand, semakin mendapat tarikan dengan usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan perniagaan ke arah kemampanan ekonomi jangka panjang.

Sementara itu, ekonomi Kemboja, Laos dan Myanmar masih menangani kekangan infrastruktur fizikal dan pembangunan modal insan, menerusi sokongan pembiayaan dua hala dan pelbagai hala walaupun terdedah kepada kejutan luar.

Tambah beliau, ekonomi ber­orientasikan eksport Jepun, Korea Selatan, Singapura, Malaysia, Thailand dan Vietnam kini memanfaatkan pemulihan dalam kitaran bagi sektor elektronik serta harga komoditi yang lebih 
kukuh. – bernama