Walau bagaimanapun, syarikat berjaya mengurangkan kerugian sebelum cukai bagi tahun berakhir 31 Mac 2017 kepada RM222.18 juta, berbanding kerugian RM822.13 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut DRB-Hicom, sektor perkhidmatan terus mencatat peningkatan pendapatan bagi Kumpulan pada tahun lalu, dengan sektor automotif negara menyaksikan penyusutan volum dalam tahun kalendar 2016.

Katanya, sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 41 peratus kepada RM3.55 bilion berbanding RM2.51 bilion tahun sebelumnya.

Jelasnya, sektor hartanah pula mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 45 peratus kepada RM427.31 juta tahun ini, menyaksikan keuntungan RM398.11 juta berikutan pelupusan keseluruhan 90 peratus ekuiti dalam Corwin Holding Pte. Ltd. di Singapura pada November 2016 oleh anak syarikat, HICOM Megah Sdn. Bhd.

“Pendapatan sektor automotif pula menurun sebanyak 14 peratus kepada RM8.08 bilion, sebahagian besarnya disebabkan jualan yang lebih rendah, berdasarkan penguncupan industri dalam tahun kalendar 2016.

“Jumlah jualan kenderaan (TIV) pada 2015 mencatat 666,677 unit, iaitu satu rekod baharu, namun TIV tahun 2016 menurun ke 580,124 unit, penurunan 13 peratus, menjejaskan semua jenama di bawah Kumpulan DRB-Hicom, termasuk kereta nasional Proton,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai prospek masa hadapan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi, Kumpulan DRB-Hicom yakin sektor perniagaan akan mengikuti trend itu.

“Perniagaan penerbangan dan logistik Pos Malaysia dijangka terus menjadi pemacu pertumbuhan utama dengan disokong perkembangan e-dagang yang dilihat bakal meningkatkan sumbangan kepada pendapatan syarikat tersebut.

“Kumpulan DRB-Hicom menjangkakan bahawa prestasi bagi tahun kewangan bakal berakhir pada 31 Mac 2018 dijangka bertambah baik,” katanya.

Habis.