Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pe­rodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh (gambar) berkata, syarikat mencatatkan jualan 151,600 kenderaan bagi sembilan bulan pertama 2017, meningkat 0.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun katanya, jualan pengeluar kenderaan itu menurun tiga peratus pada suku ketiga 2017 kepada 51,900 buah berbanding 53,500 pada suku ketiga 2016.

“Jumlah jualan yang lebih besar tahun lepas adalah disebabkan oleh pengenalan Perodua Bezza iaitu pada 21 Julai 2016.

“Impaknya telah normal sekarang dan Perodua juga telah me­nerima manfaat dari segi jualan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aminar Rashid berkata, ca­baran bagi suku keempat 2017 termasuk kelulusan yang mencabar bagi pinjaman sewa beli dan jangkaan persaingan yang sengit daripada jenama kereta lain.

“Suku keempat 2017 ini dijangka mencabar, tetapi kami percaya dapat mengekalkan momentum jualan dan optimis untuk mencapai sasaran awal sebanyak 202,000 kenderaan menjelang akhir tahun,” katanya,

Menurut beliau, berdasarkan kepada jualan ketika ini, semua model kenderaan Perodua berada di kedudukan terbaik dalam kate­gori masing-masing.

“Dari Januari hingga September tahun ini, Axia adalah pa­ling laris dalam segmen A hatch kompak dengan sebanyak 48,700 buah dijual, diikuti Myvi seba­nyak 42,000 buah yang juga pa­ling laris dalam segmen B hatch.

“Sementara itu, Bezza juga pa­ling laris dalam segmen A kompak pada 39,800 buah dan Alza pula kenderaan pelbagai guna (MPV) paling laris dengan jualan sebanyak 21,400 buah,” jelasnya.