Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding antara RM4.8 hingga RM4.9 bilion yang dibelanjakan sejak tiga tahun lalu berikutan peningkatan dalam permintaan kenderaan Perodua.

“Ini adalah komitmen kami kepada para vendor. Apabila ada peningkatan dari segi permintaan dan sebagainya, ia adalah baik untuk ekosistem, vendor, pengedar, rakan bank dan insurans, keseluruhan ekosistem rantaian bekalan akan mendapat manfaat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Dalam pada itu mengulas mengenai kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Aminar Rashid berkata, ia masih terlalu awal untuk menjangkakan impaknya kepada jualan kenderaan Perodua.

Beliau berkata, pe­ngukuhan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memberi kesan yang positif terhadap syarikat berikutan ia mengimport komponen dan alat ganti menggunakan mata wang berkenaan selain yen.

“Dari segi import, Perodua mengimport komponen dan alat ganti menggunakan mata wang dolar (AS) dan yen, jadi apabila ringgit lebih kukuh ia memberi kesan yang baik kepada kami dan juga ada di antara vendor-vendor kami yang membeli guna mata wang itu.

“Terlalu awal untuk saya katakan sama ada ia negatif atau tidak, tapi apa yang boleh saya katakan ia pasti memberi kesan dan harapan kami, ia lebih kepada yang positif,” katanya.

Tambahnya, setakat ini Pe­rodua masih mengekalkan un­juran jualan kenderaannya untuk tahun ini iaitu sebanyak 209,000 buah.

Setakat Januari 2018, Pe­rodua telah menjual sejumlah 17,693 buah kende­raan dan daripada jumlah tersebut Myvi menyumbang seba­nyak 9,029 buah; Axia (4,085 buah), Bezza (2,776 buah) dan Alza (1,803 buah).

“Ini sekali gus menjadikan penguasaan pasaran kami meningkat kepada lebih 40 peratus, paling tinggi dalam sejarah Perodua,” katanya.