Pengurus Negara bagi Malaysia, Kumpulan Bank Dunia, Faris H.Hadad-Zervos berkata, kerajaan menyediakan semua kemudahan daripada kementerian, bank dan institusi seperti Cagamas Berhad dan Perbadanan PR1MA Malaysia bagi membantu rakyat memiliki rumah.

Sehubungan itu ujarnya, adalah penting bagi setiap sektor untuk membentuk satu kerjasama dan harus menjadi keutamaan kepada kerajaan.

“Rumah mampu milik secara dasarnya adalah keutamaan kepada negara dan kerajaan juga telah membuktikan ia satu perkara penting ketika pembentangan Bajet 2018 yang lalu.

“Namun, tumpuan bukanlah kepada inisiatif yang dilaksanakan tetapi setiap sektor perlu bekerjasama antara satu sama lain supaya penyelesaian dapat memberi manfaat kepada semua orang,” katanya pada sesi perbincangan panel Memacu Pasaran Rumah Mampu Milik bagi Perbandaran Urban di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Norzila Abdul Aziz.

Sesi berkenaan diadakan sempena Forum Bandar Sedunia Ke­sembilan (WUF9) yang dihadiri lebih 30,000 peserta dari 192 negara dan diadakan selama tujuh hari.

WUF9 menyediakan platform untuk berkongsi pendapat me­ngenai bagaimana negara-negara di dunia berjaya mengurangkan jurang rumah mampu milik.

Sementara itu, Norzila dalam ucapannya berkata, perumahan awam di Malaysia masih berada di peringkat awal memandangkan ia perlu mendapatkan model pe­rumahan awam yang bersesuaian.

Bagaimanapun kata beliau, ada­lah penting untuk mendapat manfaat daripada perumahan awam secara bersepadu.

“Pasaran perumahan awam di negara ini tidak tersusun yang boleh menyebabkan ketidakce­kapan agensi tersebut melaksa­nakan projek berkenaan.

“Jadi, adalah perlu untuk me­wujudkan satu pangkalan data dan inisiatif perumahan secara bersepadu yang boleh meningkatkan kecekapan mereka dari segi perancangan dan pelaksa­naan.

“Ini termasuk mengambil kira kaedah pembinaan yang lebih maju dan penempatan aset yang bijak membolehkan pengurusan kos lebih efektif,” katanya.

Menurut beliau, rumah mampu milik merupakan kebimba­ngan global yang dihadapi bandar-bandar utama di dunia.

Pada 2014 katanya, dianggarkan 330 juta isi rumah di seluruh dunia mendiami rumah yang substandard atau terbeban dari segi kewangan akibat menanggung kos rumah.

“Di Malaysia, pertumbuhan per­ban­daran dan penduduk telah menyumbang kepada kekura­ngan bekalan rumah mampu ­milik,” katanya.