Terdapat juga ramai pelabur dan pedagang saham yang rugi terus tanpa membuat sebarang keuntungan. Biasanya pelabur atau pedagang jenis ini merupakan pedagang kontra atau jangka masa singkat yang kerap memasuki pasaran tidak kira waktu.

Kerugian juga boleh menjadi besar atau berterusan lebih-le­bih lagi semasa sentimen pasaran negatif atau pasaran me­ngalami proses penurunan yang panjang. Di dalam proses penurunan ini, aktiviti jualan paksa yang berterusan di samping panggilan margin melambatkan pasaran untuk pulih semula.

Ramai pelabur dan pedagang saham yang mengalami kerugian tidak tahu cara untuk memulihkan portfolio pelaburan. Keadaan ini juga disebabkan ketidakupayaan menyediakan dana baharu untuk membeli saham semasa harga saham ber­ada pada harga diskaun atau menjadi murah dibandingkan semasa pasaran berada di kemuncak kenaikan sebelum ia jatuh.

Tidak mengambil tindakan

Golongan ini akan melihat sahaja pasaran naik semula atau mengalami pantulan teknikal tanpa mengambil apa-apa tindakan. Membeli tidak, menjual pun tidak kerana tiada modal baharu dan harga saham yang dipegang masih belum naik lagi melebihi harga yang dibeli.

Sungguhpun semasa aliran menaik ini, tidak semua saham-saham syarikat tersenarai yang telah jatuh akan naik semula seiring dengan kenaikan indeks FBM KLCI. Terdapat juga beberapa saham syarikat tersenarai yang tidak naik langsung semasa pasaran mengalami pemulihan daripada kejatuhan.

Ada yang naik sedikit dan kemudiannya mendatar untuk satu tempoh masa lama, jus­teru, pelabur dan pedagang saham yang telah membeli saham pada harga tinggi tidak dapat berbuat apa-apa sambil melihat portfolio pelaburan mereka masih negatif.

Maka, untuk membuat pelaburan baharu semasa pasaran mula menunjukkan tanda-tanda akan naik atau pantul, pelabur atau pedagang saham perlu menyediakan modal baharu untuk mengambil peluang membuat keuntungan semasa proses ini.

Peluang kembali untung

Di sini, Cikgu Saham berikan garis panduan bagaimana untuk mengambil peluang membuat keuntungan semasa pasaran akan pulih atau naik semula.

Anda perlu menyediakan modal baharu semasa pasaran jatuh. Kejatuhan yang akan berakhir atau disusuli dengan pantulan teknikal perlu diukur de­ngan ilmu analisis teknikal serta mengikuti perkembangan semasa pasaran saham terma­suk pasaran global.

Pelabur dan pedagang saham perlu mengambil tahu pemang­kin positif yang akan mempe­ngaruhi pasaran.

Modal baharu yang diperlukan ialah bersamaan dengan jumlah kerugian. Sebagai contoh, modal asal ialah RM20,000. Anda telah menggunakan semua wang pelaburan tersebut untuk membeli beberapa saham syarikat tersenarai.

Semasa tempoh pegangan saham ini, pasaran saham tiba-tiba jatuh dan kejatuhan ini pula merupakan satu kejatuhan yang lama seperti sekarang. Anda tidak mahu mengambil tindakan menjual saham kerana tidak mahu menanggung rugi.

Jadi, anda biarkan sahaja dengan harapan apabila pasaran pulih dan harga saham di dalam portfolio naik baharulah anda akan menjual saham-saham tersebut.

Walhal, dalam tempoh membiarkan saham-saham tersebut di dalam portfolio pelaburan, sentimen pasaran masih juga negatif yang mengakibatkan nilai pelaburan anda menjadi semakin merosot.

Modal baharu

Semasa anda menyemak portfolio pelaburan, anda dapati nilai pelaburan anda merosot sehingga 50 peratus daripada modal asal.

Di dalam kes ini, modal baharu yang perlu anda sediakan adalah jumlah asal modal anda iaitu sebanyak RM20,000. Sekiranya anda tidak dapat menyediakan jumlah tersebut, anda perlu sediakan jumlah yang bersamaan dengan kerugian di atas kertas iaitu sebanyak RM10,000.

Modal baharu ini digunakan untuk membeli mana-mana saham syarikat tersenarai yang berpotensi naik semasa pasaran menunjukkan tanda-tanda akan pulih mengikut kajian analisis teknikal mahupun faktor-faktor persekitaran yang akan memberi impak positif ke atas pasaran.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan modal tersebut untuk memohon saham tawaran awam permulaan (IPO) kerana ia mempunyai risiko yang rendah untuk turun semasa penyena­raian pada hari pertama disenaraikan di papan Bursa Malaysia.

Kita sambung topik ini di minggu harapan.

Kepada pembaca yang ingin mempelajari bagaimana menjana pendapatan di pasaran saham boleh hubungi talian 019-2352037 dan untuk perisiaan carta 013-3899162.